Northport pecah rekod kendalian kontena dua bulan berturut-turut

199

Northport (Malaysia) Bhd yang juga ahli Kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC) mencatatkan kendalian kontena bulanan tertinggi iaitu 365,558 TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) pada Ogos 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, ia merupakan satu lagi pencapaian pecah rekod bulanan kendalian kontena dan kargo konvensional syarikat yang mengatasi prestasi sebelumnya sebanyak 354,548 TEU.



Prestasi pecah rekod pada Ogos itu disumbangkan beberapa faktor termasuk peningkatan ketara dalam ketibaan kapal ad-hoc.

“Sejak Januari hingga Ogos 2024, Northport menerima sejumlah 171 singgahan kapal adhoc. Selain peningkatan dalam persinggahan kapal ad-hoc, Northport turut berjaya menarik beberapa perkhidmatan perkapalan baharu ke terminalnya.

 

“Laluan perkhidmatan baharu ini meluaskan rangkaian Northport dan membolehkan kendalian lebih besar melalui pelabuhan itu. Dalam jangka masa tersebut, Northport merekodkan 13 perkhidmatan perkapalan baharu di pelabuhannya,” katanya. 

Selain itu, Northport juga memecahkan rekod bulanan kargo konvensionalnya dengan pengendalian 1,145,021 FWT (Freight Weight Tonnes), mengatasi rekod sebelumnya iaitu 1,143,318 FWT yang juga dicatatkan pada Julai 2024.

“Prestasi pecah rekod kami yang konsisten bulan demi bulan adalah gambaran jelas tentang pengembangan kapasiti dan peningkatan kecekapan dalam menguruskan kendalian kargo yang semakin meningkat.

“Pencapaian ini menyerlahkan daya tahan dan keupayaan kami dalam bertindak balas kepada cabaran global serta perubahan perdagangan antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Azman Shah berkat lapangan kontena baharu, Blok K telah beroperasi secara separa dan menyumbang kepada kendalian kontena lebih tinggi pada Ogos.

Tambah beliau, lapangan kontena berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada September 2024.

Pelabuhan Klang yang terdiri daripada Northport dan Westports kini berada di kedudukan ke-11 dalam 100 pelabuhan global terbaik untuk 2023 dalam laporan Lloyd’s List, meningkat dari tangga ke-13 pada 2022.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here