Mini memanggil semula lebih daripada 140,000 unit kenderaan elektrik (EV) di seluruh dunia yang mungkin mengalami masalah bateri bervoltan tinggi.
Menurut laporan daripada agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), bateri bervoltan tinggi yang wujud pada EV Mini itu berkemungkinan besar diproduksikan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pengeluar.
Tanpa menyatakan punca secara langsung, dokumen itu mendedahkan kerosakan mungkin berlaku pada bateri atau sistem voltan tinggi, mengakibatkan situasi litar pintas sekaligus meninggikan risiko kebakaran.
Situasi tersebut boleh berlaku walaupun EV langsung tidak bergerak, namun mesej amaran akan dipaparkan kepada pemandu terlebih dahulu.
Difahamkan, Mini akan mengemaskini perisian baharu yang turut merangkumi fungsi diagnosis untuk mengenalpasti permasalahan pada bateri bervoltan tinggi.
Kemaskini tersebut ditawarkan secara percuma di mana pengeluar itu akan memaklumkan kepada setiap pemilik bermula 7 Oktober ini.