BYD memperkenalkan kereta elektrik (EV) Seal 06 GT yang bakal tersedia di pasaran China hujung September ini.
Berdasarkan konsep Ocean-M, EV itu menampilkan prestasi sporty dan teknologi canggih pada anggaran harga CNY150,000 hingga CNY200,000 (RM91,786-RM122,382).
Seal 06 GT dibangunkan menggunakan e-platform 2.0 Evo BYD dengan panjang 4,630mm, lebar (1,880mm) dan tinggi (1,490mm) serta jarak roda 2,820mm.
Bentuk badan yang gagah diketengahkan menerusi garisan hud yang menyerlah dan gril bawah dengan integrasi radar. Kemudian, belakangnya dipadankan dengan lampu lebih besar yang ditarik sepanjang pintu but dan diffuser bagi meningkatkan imej sporty.
Masuk ke kabin, Seal 06 GT lebih moden dengan teknologi terkini. Kabin dengan padanan warna putih atau biru itu dilengkapi dengan skrin terapung adaptif 15.6-inci, panel instrumen 10.25-inci dan paparan head up 12-inci.
Selain itu, ia turut ditawarkan dengan pengecas tanpa wayar dan sistem kokpit pintar DiLink 100 yang menyokong perintah suara dan pengurusan kenderaan 3D.