Polis sita 21 MPV prebet sapu kenakan caj melampau

144

Guna kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah dan mengenakan caj bayaran hampir RM1,000 merupakan modus operandi digunakan prebet sapu yang menyasarkan pelancong asing di sekitar hotel lima bintang dan kawasan pelancongan di sekitar Lembah Klang.

Perkara itu terbongkar susulan Operasi Kenderaan Sapu bermula 2 hingga 6 September lalu yang menahan dan menyita 21 MPV termasuk jenis Hyundai Starex dan Staria selain Toyota Alphard serta Innova.

Sepanjang operasi dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga mengeluarkan 45 notis saman terhadap prebet sapu mewah tersebut.



Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi tersebut hasil aduan diterimanya yang boleh menjejaskan dan mencemarkan imej negara di kalangan pelancong asing di negara ini.

Menurutnya, operasi yang julung kali diadakan tersebut juga boleh dikatakan pelengkap memandangkan sebelum ini tumpuan diberikan di lapangan terbang utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2 (KLIA 1 dan KLIA 2), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah.

“Modus operandi ‘ulat teksi sapu mewah ini’ adalah menggunakan aplikasi khas dan orang tengah yang dilakukan dengan kumpulan tersebut.

“Prebet sapu tersebut menggunakan MPV mewah dan cajnya lebih tinggi bergantung perjalanan. Ada yang kita tangkap mengenakan bayaran sehingga SGD$300 (RM997.17) bagi Kuala Lumpur ke Singapura berbanding caj biasa RM300,” katanya pada sidang akhbar Operasi Kenderaan Sapu di JPJ Selangor hari ini.

Beliau memberitahu, rata-rata prebet sapu tersebut merupakan warga tempatan berusia 30an dengan menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) iaitu kenderaan Persendirian dijadikan sebagai kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA).

Aedy Fadly mengakui kegiatan tersebut telah lama berlaku namun pihaknya memasuki premis atau hotel dengan lebih menumpukan kepada lapangan terbang, terminal bas dan jeti.

“Mungkin selepas kita terima aduan ini, kita akan atur gerak kerja dari segi dapatkan kerjasama termasuk persatuan pelancong. Justeru, kita akan kembangkan operasi sama di seluruh negara selepas ini.

“Namun, kita perlu lakukan dengan cermat kerana ia juga boleh menganggu gugat industri pelancongan serta imej negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan prebet sapu mewah ini tidak mempunyai insurans dan boleh membahayakan para penumpang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Antara kesalahan dikesan sepanjang operasi adalah salah guna LKM, tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan tamat tempoh.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here