Peserta RXZ Members 6.0 ditipu scammer ‘homestay’

281

Kegembiraan konvoi Yamaha RX-Z dari Negeri Sembilan menuju ke Terengganu bagi menyertai RXZ Members 6.0 bertukar duka apabila menjadi mangsa penipuan scammer yang menawarkan penginapan di sebuah inap desa di Kuala Terengganu. 

Seorang peserta, Adli Ismail, 31, berkata, hasrat untuk berehat sebaik tiba di Terengganu setelah menempuh perjalanan yang panjang tergendala selepas mendapati rumah inap tersebut sudah didiami pelanggan lain. 

Gambar hiasan

“Saya menempah rumah inap desa itu menerusi Facebook pada bulan lalu dan membayar RM1,800 untuk dua malam di rumah dua tingkat yang besar dan luas memandangkan jumlah (konvoi) yang pergi adalah ramai melibatkan 26 orang.



“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian pada jam 12 tengah hari semalam, kami mendapati rumah inap itu sudah didiami peserta RXZ Members lain.

“Setelah diselidiki, rupanya kami ditipu oleh scammer yang menyamar menjadi pemilik rumah inap sebenar dengan menggunakan gambar rumah inap desa yang sememangnya wujud,” katanya.

Bagaimanapun, dia dan rakan-rakannya reda dengan kejadian menimpa mereka selain tidak bercadang untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Perkara yang berlaku kami anggap sebagai dugaan dan pengalaman bercuti selain ia bukanlah pengakhiran sebagai ‘budak motor‘. Kami reda serta niatkan sedekah kepada ‘scammer’ itu.

“Perkara ini dijadikan pengajaran selain menasihatkan kepada orang ramai yang ingin menempah rumah inap supaya lebih berwaspada terutama berurusan di media sosial supaya tidak tertipu,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia turut memuji dan terharu atas kebaikan serta layanan penduduk di Terengganu yang membantu mereka mendapatkan tempat penginapan lain.

“Alhamdulillah, ketika kami berada di kedai makan, ramai penduduk kampung di situ bertanyakan tentang masalah kami dan mereka cuba membantu.

“Lebih terharu penduduk Terengganu siap masakkan makanan untuk kami sementara kami menunggu mendapatkan rumah inap yang lain.

“Kami rancang untuk tidur di masjid sekiranya tidak mendapat penginapan tetapi atas kebaikan dan jasa orang Terengganu yang tolong kami akhirnya kami dapat penginapan lain untuk didiami selama dua malam nanti,” kongsinya..

Sebelum ini tular di grup Kuala Nerus, seorang pemilik akaun Facebook bernama Norlia Kamal memuat naik hantaran untuk mencari rumah inap desa yang masih mempunyai kekosongan susulan terdapat peserta RXZ Members 6.0 yang ditipu oleh scammer.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here