MIIT China dedah bateri BYD Xia tawar julat elektrik lebih rendah

137

Pengawal selia China (MIIT) mendedahkan spesifikasi bateri dan rangkaian kuasa MPV plug in hibrid, BYD Xia.

MPV itu bakal menawarkan bateri berkuasa 36.6kWh dengan jarak pemanduan sejauh 145km (CLTC).



BYD Xia bakal dijual tahun ini di pasaran China pada harga mula CNY300,000 (RM184,012). Pengeluar kenderaan elektrik (EV) terbesar China itu mendedahkan Xia pada Pameran Auto Chengdu, Ogos lalu.

Awalnya ia dikhabarkan menggunakan nama Tang Max atau Zhou. Namun, BYD memilih nama Xia sempena dinasti tertua di China.

Sebelum ini, BYD Xia dikatakan menawarkan jarak pemanduan elektrik penuh sejauh 200km. Maklumat itu bocor atas talian selepas ia dikesan menjalani ujian sistem pengurusan bateri.

Nombor julat yang dinyatakan telah ditulis dalam kertas data. Bagaimanapun, Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT) mendedahkan MPV itu dengan julat yang lebih kecil.

Berdasarkan fail pengawal selia, Xia dilengkapi bateri 36.628 kWh LFP dengan berat 331kg. Jadi, pek bateri berkenaan mengambil 12.5 peratus daripada berat kereta, iaitu 2,650kg.

Sebagai perbandingan, MPV Denza D9 DM-i memiliki dua pilihan bateri; 20kWh untuk 103km dan 40 kWh (190-200km).

BAKAL GUNA ENJIN 1.5L TURBO?

Pada hud depan BYD Xia terletaknya enjin 1.5-liter yang mana output maksimum masih belum diketahui.

Namun, MIIT mendedahkan penggunaan petrol Xia dengan bateri mencecah 6.5l/100km. Kemungkinan besar, ia adalah enjin pengecas turbo (BYD472ZQB) dengan kuasa puncak 154hp. Janakuasa ini biasanya sepadan dengan motor elektrik 200kW. 

BYD Xia merupakan MPV bersaiz besar yang menggunakan bahasa rekaan Dynasty dengan gril besar dan elemen krom bersama lampu depan yang panjang.

MPV itu memiliki panjang 5,145mm, lebar (1,970mm) dan tinggi (1,805mm) serta jarak roda 3,045mm. Ia lebih pendek 105mm dan 10mm lebih lebar serta lebih rendah 115mm berbanding Denza D9.

Berdasarkan imej intip sebelumnya, kabin Xia menawarkan bentangan tujuh kerusi (2+2+3) dan rekaan konsol tengah sama seperti Qin L dan Song L DM-i. Kemudian ia dilengkapi dengan skrin besar di tengah papan pemuka dan stereng bentuk D.

Ciri peralatan lain termasuklah sistem ADAs DiPilot, sistem kokpit DiLink 150 dan suspensi DiSus-C electromagnetik. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here