Toyota Sienna (2025) hadir dengan fungsi berguna untuk golongan ibu bapa

63

Kes terlupa atau tertinggal kanak-kanak di dalam kenderaan bukanlah satu perkara baharu.

Silap haribulan, ia mampu meragut nyawa orang yang tersayang tanpa disedari.

Dengan azam untuk menyelamatkan lebih ramai nyawa kanak-kanak, Toyota memperkenalkan sistem pengesanan berasaskan radar 60 GHz yang dinamakan sebagai Advanced Rear Seat Reminder untuk model minivan Sienna (2025).



Sistem peringatan tempat duduk belakang yang asas sudah pun wujud pada sesetengah model Toyota.

Namun dalam model Sienna (2025), sistem ini akan memberikan peringatan dalam bentuk visual pencahayaan menerusi lampu kecemasan, serta amaran berbentuk bunyi menggunakan sistem penggera.

Sekiranya pemandu mengunci Sienna dan sistem mengesan kehadiran seseorang pada tempat duduk belakang, minivan tersebut akan menyalakan lampu kecemasan, dan membunyikan amaran penggera sebanyak sembilan kali.

Jika pemandu masih tidak perasan, sistem tersebut akan membunyikan hon selepas tempoh 90 saat berlalu, diikuti penghantaran mesej amaran kepada peranti pintar selepas empat minit, dan panggilan telefon automatik selepas tambahan dua minit berlalu.

Menariknya, ciri canggih ini didatangkan secara standard untuk semua varian Toyota Sienna (2025) dengan langganan Safety Connect selama 10 tahun diperlukan.

Toyota Sienna (2025) untuk pasaran Amerika Syarikat mengekalkan penawaran enjin 2.5 liter hibrid berkuasa 245 hp yang memacu roda depan atau sistem pacuan semua roda.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here