Pelumba motosikal negara, Azlan Shah Kamaruzaman mengumumkan persaraan dari arena sukan permotoran.
Pengumuman itu dikongsikan di laman sosial media rasmi milik pelumba berusia 39 tahun itu.
Azlan yang bersaing di Kejuaraan Motosikal Asia musim ini, menyatakan keputusan tersebut diambil selepas membuat pertimbangan yang sewajarnya.
Katanya, meskipun bersara daripada sukan dua roda bukannya mudah tetapi ia adalah keputusan yang tepat.
Mula beraksi di pentas Cub Prix dan berjaya digelar juara keseluruhan CP130 pada tahun 2012, Azlan melebarkan sayap ke peringkat Asia.
Pelumba kelahiran Klang itu merangkul gelaran Asia pertamanya pada tahun 2013 dalam kelas elit SS600.
Pada tahun sama, Azlan turut berentap ke pentas dunia apabila membuat kemunculan pada saingan Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia.
Azlan kemudian bergelar pelumba sepenuh masa di Moto2 pada tahun 2014 dan 2015 bersama pasukan Honda Team Asia.
Pencapaian terbaiknya adalah ketika Grand Prix Jepun pada tahun 2015 apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat.