Seorang wanita nyaris maut selepas bongkah konkrit dari sebuah treler terjatuh ke atas kereta dipandunya sebelum terbakar di Jalan Mambau-Seremban 2, Seremban pada Jumaat.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ahmad Khomeini Kamarudzaman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 7.28 pagi dan sampai ke lokasi 10 minit kemudian.
“Difahamkan ketika kejadian, wanita berusia 31 tahun yang memandu Proton Saga FLX dalam perjalanan menghala ke Seremban.
“Namun sebaik tiba di satu selekoh, bongkah batu dari sebuah treler tiba-tiba terjatuh menghempap keretanya,” katanya.
Menurutnya, pemandu treler, lelaki berusia 68 tahun segera memberhentikan kenderaannya dan membantu mengeluarkan mangsa sebelum Proton Saga itu terbakar.
Wanita berkenaan bagaimanapun selamat dan hanya cedera ringan pada bahagian tangan.
Sementara itu, sebuah lagi Perodua Axia yang dipandu wanita berusia 30 tahun turut mengalami kerosakan apabila bongkah batu berkenaan terkena sebelah kanan pintu belakang.
“Namun wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.