Seorang pemandu berlagak samseng apabila menembak tayar kenderaan lain setelah dia gagal memotong dalam kejadian yang berlaku pada Khamis lalu.
Media tempatan melaporkan, pelaku Sunarwan, 60, yang memandu kereta keluaran Jepun berasa marah kerana tidak berjaya memotong kenderaan lain, lantas mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak tayar kereta pengguna lain di jalan Trengguli, Demak.
Menurut mangsa, Achmad Laili Dimyati dan isterinya, ketika kejadian dia sedang memandu ketika suasana di jalan yang sangat sesak.
“Kebetulan jalan yang dilalui sedang dibaiki hingga menyebabkan berlakunya kesesakan.
“Suspek cuba memotong kereta saya, tetapi gagal hinggalah dia keluarkan pistol lantas tembak ke tayar,” katanya kepada wartawan pada Sabtu.
View this post on Instagram
Ujarnya, akibat tembakan itu dua biji tayar keretanya bocor.
“Tayar depan dan belakang kereta saya bocor,” katanya.
Tidak dapat menerima apa yang dilakukan pelaku, Ahmad segera melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Sementara itu, polis Demak AKP Jarno berkata, selepas laporan dibuat mangsa, polis segera mengejar suspek.
“Suspek berjaya ditahan dan kami turut menemui selongsong peluru kosong.
“Difahamkan suspek telah menembak dua tayar mangsa sehingga bocor,” katanya.
Tambahnya, suspek kini bakal dikenakan tindakan mengikut Pasal406 KUHP mengenai tindakan merosakkan dan terancam hukuman dua tahun enam bulan penjara jika sabit kesalahan.