Nissan Kicks lancar Disember, ini yang perlu anda tahu tentang teknologi e-Power…..

642

Kenapa perlu beli kereta elektrik (EV) dan meluangkan masa untuk pengecasan, sedangkan  anda boleh dapatkan sebuah kenderaan yang operasinya mirip EV?.

Ia boleh ditemui pada teknologi Nissan e-Power yang bakal diperkenalkan pada model Kicks hujung tahun ini. 

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengambil masa agak lama untuk memperkenalkan sistem e-Power selepas memberi bayangan kedatangan Kicks sekitar dua tahun lalu.



ICE DIGUNAKAN SEBAGAI GENERATOR CAS BATERI

Motoqar berpeluang menyertai sesi pandu uji ringkas Nissan Kicks dan memahami cara operasi teknologi e-Power generasi kedua yang ditawarkan pada SUV kompak itu.

Ia dilengkapi dengan unit penambah jarak iaitu enjin yang berperanan sebagai generator untuk pengecasan bateri dan menghasilkan kuasa. 

Jadi, pengguna tidak perlu lagi bimbang untuk mencari stesen pengecasan bagi mengisi semula bateri seperti EV. 

Teknologi e-Power ini hanya menggunakan motor elektrik bagi menggerakkan roda Nissan Kicks dan enjin pembakaran dalaman (ICE) tidak terhubung secara langsung dengan roda.  

Manakala konvensional hibrid pula, kedua-dua motor elektrik atau enjin boleh menggerakkan roda secara langsung.

Kerana itulah karakteristik pemanduan Kicks seperti EV yang mana motor elektrik memberikan respons tork dengan cepat dan lancar tanpa rasa gejala kehadiran gegaran seperti mana hibrid konvensional apabila ICE mengambil alih. 

Di pasaran tempatan, ia lebih mirip dengan pengoperasian Perodua Ativa hibrid atau Daihatsu e-Smart. 

KEBIMBANGAN JARAK PERBATUAN 

Jika di China pula, konsep ini dikategorikan sebagai Range Extender Electric Vehicle (REEV), iaitu EV yang bergerak menggunakan kuasa elektrik tetapi turut melibatkan ICE sebagai generator untuk mengecas bateri.

Konsep sedemikian mengurangkan kebimbangan jarak perbatuan yang mana menjimatkan penggunaan minyak. Misalnya Kicks, di atas kertas menawarkan penggunaan bahan api yang signifikan iaitu 21.7km/l dan jarak perbatuan sejauh 900km dengan tangki penuh. 

Kicks menawarkan kelajuan yang linear dan lancar. Pada awal pergerakkan sehingga kelajuan medium menawarkan pemanduan EV menerusi  sumber dari bateri. 

Difahamkan, Kicks menawarkan pemanduan EV penuh sejauh 3 hingga 4km yang ideal digunakan sekitar kawasan perumahan mahupun jarak yang dekat. 

Pecutan daripada 90 ke 120kmj adalah lancar dan mudah dicapai apabila dijana oleh kuasa daripada enjin dan bateri langsung ke motor. Ia memberikan peningkatan kelajuan yang responsif dan lincah bahkan tenang.

E-PEDAL PERLAHAN KENDERAAN & TIDAK BERHENTI AUTOMATIK

Pada Nissan Kicks, fungsi e-Pedal hanya boleh digunakan saat mod Sport dan Eco diaktifkan.

Perbezaan yang dirasai ketika pedal minyak dilepaskan adalah kenderaan akan perlahan secara beransur-ansur. Ia tidak terasa secara mendadak, regeneratif brek terasa lebih halus dan terkawal.

Cuma, ketika regeneratif brek diaktifkan akan berasa sedikit gejala ‘drag’ yang mana seolah-olah kenderaan sedang ditarik.

Ketika menggunakan e-Pedal, pemandu perlu menekan brek bagi menghentikan Nissan Kicks, tidak seperti Leaf. Fungsi ini ideal digunakan ketika trafik sesak. 

Nissan Kicks didatangkan dengan inverter lebih ringan 30 peratus dan kecil 40 peratus berbanding generasi pertama manakala kapasiti bateri ditingkatkan menjadi 2.06kWh dengan 96 sel bateri yang diletakkan di bawah barisan kerusi depan.

Nissan Kicks memiliki output 129PS dan tork 280Nm. Pecutan 0-100kmj dicapai dalam tempoh 9.5 saat dan empat tawaran mod pemanduan iaitu Standard, Eco, Sport dan EV. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here