Skuter adventure Zontes 368G diperkenalkan di pasaran China bulan lalu. Ia dikuasakan enjin 368cc dengan output 38.2hp dan tork 40Nm serta kelajuan maksimum 129kmj.
Terkini, jentera tersebut dikesan sedang menjalani ujian enduran di negara jiran yang mana skuter berkenaan bakal memasuki pasaran Thailand.
Imej intip skuter tersebut dikongsi akaun Facebook Momo Motorbike Thailand. Zontes 368G dilengkapi sistem brek anti kunci (ABS) dua saluran dengan fungsi selekoh di depan.
Ciri peralatan yang paling menyerlah adalah tawaran kamera resolusi tinggi yang diletakkan di bahagian depan dan belakang, serta radar di belakang untuk memberi amaran kepada rider tentang titik buta pada cermin sisi.
Skuter dengan berat 198kg itu dilengkapi dengan rim jejari bersaiz 17-inci di depan dan 14-inci (belakang) bersama tayar tubeless dan saiz tangki 17.5 liter.
Selain itu, ia ditawarkan dengan dua mod tunggangan iaitu Eco dan Sport, visor depan dengan pelarasan manual, ruang simpanan bawah pelana yang boleh memuatkan dua helmet dan skrin TFT dengan ciri ketersambungan serta tiga port USB (A dan C).
Dimensi skuter ADV itu pula, memiliki panjang 2,230mm, lebar (925mm) dan tinggi (1,395mm) serta jarak roda 1,560mm.
Adakah model ini bakal masuk pasaran Malaysia?. Hasil risikan Motoqar, difahamkan Zontes bakal membawa masuk skuter adventure tersebut cuma belum diketahui masa yang tepat.
Jenama itu hampir setahun sepi tanpa pengenalan produk baharu. Kali terakhir Zontes Malaysia memperkenalkan produk mereka sekitar Ogos tahun lalu menerusi skuter 350 series baharu (Zontes 350D dan Zontes 350E).
Buat masa ini, nampaknya Thailand terlebih dahulu akan memperkenalkan 368G dan kemungkinan Malaysia menyusul tahun depan.