Subsidi bersasar RON 95 boleh pengaruhi trend inflasi Malaysia

20

Kadar inflasi Malaysia yang berkurangan kepada 1.9 peratus pada Ogos 2024 menimbulkan kebimbangan mengenai implikasi mekanisma subsidi bersasar RON95, kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau menegaskan sumbangan besar RON95 sebanyak 0.5 peratus kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) meletakkannya sebagai faktor utama dalam menentukan aliran inflasi masa depan.



Walaupun kadar inflasi dicatatkan lebih rendah (pada Ogos 2024), sebahagian besarnya disumbangkan oleh kestabilan harga dalam sektor makanan dan minuman.

Oleh itu, beliau memberi amaran bahawa rancangan pemansuhan subsidi RON95 mampu memberi tekanan ke atas harga jika tidak dikendalikan dengan teliti.

“Memandangkan penggunaan RON95 agak tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, sebarang pelarasan subsidi mesti ditentuukur dengan tepat,” katanya.

Beliau menegaskan kepentingan melaksankan langkah mitigasi yang berkesan seperti pemindahan tunai terus kepada isi rumah yang layak bagi memastikan mereka yang terjejas mendapat sokongan.

“Komunikasi yang jelas mengenai langkah-langkah ini adalah penting untuk mengurangkan kebimbangan orang ramai tentang kemungkinan kenaikan harga.

“Selain itu, kerajaan perlu memastikan tingkah laku penetapan harga dalam kalangan perniagaan diteliti untuk mengelakkan kenaikan harga yang berlebihan yang membolehkan merka memperoleh keuntungan luar biasa,” tambahnya.

Mohd Afzanizam berkata ketika Malaysia bersedia menghadapi perubahan ekonomi ini, pihak pengurusan subsidi RON95 akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan inflasi yang stabil selain memastikan keyakinan pengguna terhadap pasaran.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata inflasi Malaysia berkurangan kepada 1.9 peratus pada Ogos 2024, didorong oleh kenaikan harga pada restoran dan utiliti serta makanan yang lebih mahal walaupun IHP menokok kepada 133.2 berbanding 130.7 yang dicatatkan pada bulan yang sama 2023. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here