#Tahukah Anda: Pemilik IONIQ 5 ini bangunkan wiper bluetooth sendiri!

125

Sekarang ini merupakan zaman di mana peranti seperti pembesar suara, jam tangan, tetikus, bahkan papan kekunci sudah pun menggunakan sambungan berasaskan teknologi Bluetooth.

Namun tahukah anda, terdapat pihak yang sedang cuba untuk membangunkan wiper bluetooth?

Seorang pemilik Hyundai IONIQ 5, Robert Bleischwitz dari Switzerland sangat tidak berpuas hati kerana EV miliknya itu tidak dilengkapi dengan wiper belakang.



Jadi, beliau memulakan kempen Kickstarter untuk mempromosikan wiper Bluetooth (GeckoWiper) yang sedang dibangunkannya itu.

Wiper itu dilengkapi dengan bateri, dan boleh dipasang dengan mudah menggunakan cawan sedutan yang dipam menggunakan tangan, serta cantuman magnet pada kedua-dua belah sisi kaca.

Dengan menggunakan fob kunci, wiper tersebut boleh diaktifkan dengan mudah, di mana ia akan membuat sapuan pada cermin belakang sebanyak dua kali dalam tempoh lima saat.

Bateri tersebut sekiranya dicas penuh mampu bertahan dalam tempoh enam bulan dan mempunyai ciri kalis air sepenuhnya.

Menurut Robert Bleischwitz, wiper itu sudah diuji dalam pelbagai keadaan cuaca persekitaran termasuklah cuaca panas, kering dan basah, ribut serta senario pemanduan berkelajuan tinggi atas lebuh raya.

Selain Hyundai IONIQ 5, Robert sedang membangunkan GeckoWiper ini untuk model dari jenama Tesla, Polestar, Genesis dan Kia.

Berdasarkan semakan di laman Kickstarter, kos untuk satu unit GeckoWiper bermula sekitar $439 atau RM1,811.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here