Gagal baiki kenderaan pelanggan seperti dijanji, mekanik didenda RM5,000

790

Seorang mekanik bengkel kereta didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, Ipoh kerana gagal membayar tuntutan seorang pengguna yang mendakwa mekanik itu tidak menyiapkan pembaikan kenderaan sebagaimana dijanjikan dua tahun lepas.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam kenyataan memaklumkan Muhamad Zamzam Mohd Razali, 28, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan setelah gagal menyerahkan jumlah tuntutan sebanyak RM6,750 kepada pengadu dalam tempoh 14 hari dari tarikh award diserahkan.

Terdahulu, satu award telah dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Negeri Perak iaitu Muhamad Zamzam telah diperintahkan membayar jumlah tuntutan berkenaan kepada pengadu.



“Penentang (Muhamad Zamzam) telah gagal mematuhi award yang telah diperintahkan dan pada 1 Disember 2022, penentang telah dituduh di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu ketidakpatuhan award borang 8 oleh penentang selepas tempoh 14 hari.

“Pada masa itu, penentang tidak mengaku bersalah atas pertuduhan dan mohon untuk dibicarakan,” kata kenyataan itu.

Justeru, mahkamah telah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan yang munasabah dan telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 dan jika gagal membayar akan dipenjara selama lima bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN Perak Muhammad Ridzuan Abd Rahim.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here