Kumpul wang hampir enam tahun, kembara 25 negara sejauh 53,391km dengan Perodua Kelisa

117

“Saya rasa hampir tiga kali macam nak hilang nyawa,” kata pengembara, Nursulhi Rahim, 47, yang menjelajah hampir 25 negara dengan Perodua Kelisa yang dibeli sejak 2004.

Nursulhi yang memulakan pengembaraan sejak 4 Januari 2019 berkata, ketiga-tiga kejadian akibat ribut salji menyebabkan kereta terbabas.



Kontraktor yang tinggal Tampin, Negeri Sembilan itu berkata, kejadian berkenaan masing-masing berlaku di Sweden, Turkiye dan Switzerland.

“Selain itu, ketika di India, pada Aidilfitri pertama hingga ketiga, saya berada di dalam hutan tanpa sebarang komunikasi dengan dunia luar.

“Saya pernah melalui jalan paling bahaya di dunia. Saya dapat keluar daripada kawasan itu dan sangat bersyukur,” katanya yang mengembara sejauh 53,391km sepanjang tempoh berkenaan.

Antara negara dikunjunginya dengan Perodua Kelisa itu adalah Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Sri Lanka, China, Bulgaria, Romania, Hungary, Croatia, Austria, Jerman, Sweden, Norway, Denmark, Sepanyol, Greece, Switzerland, Sweden dan Itali.

BELANJA RM200,000

Katanya, dia mengumpul wang hampir enam tahun sebelum mengembara bersama anak sulung, Muhammad Aidil, 18.

“Saya buat kerja kontrak seperti membaik pulih rumah atau bangunan, cuci longkang, cuci tandas, di sekitar Bangi, Kuala Lumpur dan Damansara,” katanya.

Sepanjang tempoh itu, dia membelanjakan hampir RM200,000 untuk kemudahan Internet, membaiki kereta dan sebagainya.

Menurutnya, daripada segi pemilihan kenderaan, dia tiada kereta lain selain Perodua Kelisa.

“Kereta itu juga untuk kegunaan harian dan kerja kontrak seperti membawa simen, pasir dan sebagainya.

“Cerita ini bukan mahu raih simpati, tetapi cuma mahu terapkan dalam minda bahawa kita boleh pakai apa saja jenis kenderaan untuk mengembara.

“Pada masa sama, tidak semestinya kita ada duit atau kaya baru boleh buat. Bukan setakat wang dan masa semata-mata, tetapi yang penting Allah SWT izinkan. Jika Dia izin, kita sampai dan sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, apa dibuatnya bukan untuk mengejar populariti sebaliknya demi minat.

“Saya bukan nak glamour, cuma saya mahu orang tahu yang kita mampu melakukannya jika benar-benar berusaha.

“Tidak kira apa sahaja jenis kenderaan, jika kita mahu sesuatu seperti mengembara, buat dengan sepenuh hati,” kata bapa lima anak itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here