Mangsa kemalangan acu pisau ke arah anggota polis selepas dibantu

1

Seorang lelaki ditahan selepas mengacukan pisau ke arah anggota polis yang cuba membantunya akibat terbabit kemalangan di Jalan Expressway Samarahan-Kuching, berhampiran sebuah pusat beli-belah, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Jaimi Husin berkata, kejadian berlaku jam 11.35 pagi apabila anggota dari Unit Peronda Polis (MPV) dikerahkan ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai Perodua Myvi terbabas di tepi jalan.



“Semasa anggota polis cuba memberikan bantuan dan mengeluarkan pemandu dari kenderaannya, tiba-tiba dia mengacukan pisau ke arah mereka.

“Lelaki terbabit cuba ditenangkan namun gagal memberikan kerjasama,” katanya.

Jaimi berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek dalam perjalanan dari Kuching ke Kota Samarahan sebelum kereta yang dipandunya melanggar empat kenderaan lain sehingga menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit.

Susulan itu, katanya lelaki berusia 24 tahun itu ditahan dengan bantuan anggota bomba yang turut berada di lokasi.

Beliau berkata, sebilah pisau pemotong sayur yang digunakan suspek turut dirampas.

Jaimi berkata, suspek akan direman esok untuk siasatan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here