Budak 10 tahun curi kereta, hampir langgar kanak-kanak lain di taman permainan

73

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditahan di Minneapolis, Minnesota, baru-baru ini, selepas didakwa mencuri kereta dan memandu secara melulu berhampiran taman permainan sekolah sehingga hampir melanggar kanak-kanak lain di situ.

Fox News melaporkan, Ketua Polis Minneapolis, Brian O’Hara pada Jumaat lalu berkata, kejadian itu berlaku pada 20 September lalu, di taman permainan di luar Sekolah Nellie Stone Johnson.

Rakaman kamera pengawasan menunjukkan kanak-kanak itu memandu kenderaan curi itu berulang-alik di belakang taman permainan, sebelum memandu ke kaki lima yang hanya beberapa meter dari taman permainan.



Tiada kanak-kanak dilanggar kenderaan itu, menurut O’Hara.

Beliau berkata, kanak-kanak berusia 10 tahun itu dikenal pasti sebagai pemandu kenderaan terbabit pada Khamis lalu.

Susulan itu katanya, kanak-kanak itu ditangkap dan dimasukkan ke Tahanan Juvana Daerah Hennepin.

Sementara itu, Pejabat Pendakwa Raya Daerah Hennepin dalam kenyataan akhbar pada Jumaat berkata, ia memfailkan tuduhan dalam kes itu.

O’Hara berkata, kanak-kanak lelaki itu akan didakwa memandu secara melulu dan menerima harta curi.

Pejabat pendakwa raya juga berkata, seseorang tidak boleh didakwa, jika tidak mampu membantu peguam dalam pembelaan atau jika tidak memahami prosiding undang-undang.

“Seorang ahli psikologi yang dilantik oleh mahkamah akan menentukan sama ada kanak-kanak itu boleh mengemukakan pendapatnya kepada hakim, yang kemudian akan membuat keputusan muktamad.

“Jika kanak-kanak didapati tidak mampu berbuat demikian (memberikan pendapatnya) , kanak-kanak itu akan dibebaskan daripada jagaan, dan kes itu sama ada akan digugurkan atau diketepikan,” kata kenyataan sama.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here