Lagi besar, lagi bagus. Agaknya itulah pegangan di ibu pejabat Triumph apabila mereka membina Rocket 3 TFC – sebuah superbike yang diberika enjin lebih besar dan berkuasa.
Seolah-olah Triumph mahu meningkatkan tahap mereka sendiri, memecahkan rekod Rocket III pada 2004. Tetapi ini ialah superbike Triumph, jadi tiada apa yang mengejutkan. Untuk seabad yang lepas, pengeluar motosikal British itu telah meletakkan prestasi terulung dan elegan dalam motosikal mereka.
Hanya dengan melihat pada spesifikasi atas kertas Rocket 3 TFC ini sahaja, anda akan tersenyum. Jentera ini disumbat enjin 2,500cc – sesaran terbesar untuk mana-mana motosikal produksi di dunia ini.
Nadi tiga-silinder yang dipadan dengan kotak gear helical enam-kelajuan itu menghasilkan 168hp dan 221Nm tork. Ia bukan sahaja motosikal Triumph paling berkuasa, malah motosikal terkuat (tork tertinggi) dalam motosikal produksi di dunia. Tambahan lagi, ia kini 40kg lebih ringan dari sebelumnya.
Triumph Rocket 3 TFC menerima perkakasan moden dan terkini untuk kemudahan tunggangan dan ketepatan pengendalian. Ini merangkumi paparan TFT generasi kedua, sistem pemantauan tekanan tayar, dan lampu LED dengan DRL.
Terdapat juga brek Brembo Stylema, monoshock Showa boleh-laras, ABS, traction control, empat mod tunggangan (Road, Rain, Sport and Rider) dam Triumph Shift Assist (penukaran gear tanpa klac).
Rangka aluminium lebih tirus kini menggunakan single-sided swing arm yang nampak lebih kemas. Perincian gentian karbon, pelindung haba dan ekzos 3-header melengkapkan penggayaan motosikal ini.
Hanya 750 unit yang akan dibina, dan setiap motosikal akan memakai lencana TFC yang menunjukkan plak nombor edisinya. Dengan tahap eksklusif dan spesifikasi megah, Rocket 3 TFC ini dijual pada £25,000 atau RM134,897.16. Adakah harga ini padan dengan jentera ini?