Honda Civic Gen 11 diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2022 menerusi empat pilihan varian.
Selama dua tahun sedan segmen-C itu berada di pasaran, mungkin ada beberapa perkara yang anda terlepas pandang.
Ini 5 fakta ringkas tentang Honda Civic Gen 11 yang perlu anda ketahui…
1. GUGUR ENJIN 1.8L
Honda menggugurkan enjin 1.8 liter i-VTEC NA sebagai langkah ke depan selepas mempertimbangkan regulasi emisi yang semakin ketat di peringkat global. Tambahan enjin tersebut juga sudah agak lama.
Maka, pengeluar itu memfokuskan kepada pembangunan 1.5 liter VTEC Turbo dan meletakkan semua sumber ke dalam enjin tersebut.
Pasaran Malaysia juga menerima enjin lebih berkuasa 1.5 liter VTEC turbo 4-silinder dengan output 182 PS @ 6,000 rpm dan tork 240 Nm @ 1,700-4,500 rpm berbanding negara jiran.
2. PENAMPILAN LUARAN
Rekaan luaran adalah subjektif, ada yang beranggapan Civic generasi ke-11 kelihatan lebih matang dan sebaliknya.
Tahukah anda menurut Ketua Projek Civic, Tomoyuki Yamagam, rekaan Civic adalah berdasarkan pangkalan pelanggan global Honda.
“Kami cuba mengikuti perkara paling asas berdasarkan nilai pelanggan berbanding menambah aksesori berat dan menjadikannya terlalu mewah.
“Honda meminimumkan sebarang garisan tambahan dan memaksimumkan perkadaran agar ia dapat diterima oleh pelanggan yang luas di seluruh dunia,” katanya.
Kerana itulah Civic terkini tampil dengan garis reka bentuk lebih bersih dan aerodinamik bersama siluet lebih rendah dan lebar.
3. TANDA ARAS PENGENDALIAN
Setiap pembangunan produk baharu, pengeluar akan memilih model pesaing sebagai penanda aras.
Bagi pengendalian Civic, Honda menjadikan Toyota Corolla dan Mazda 3 sebagai perbandingan bagi segmen-C.
Manakala, model Audi A3 dan A4 serta Volkswagen Golf dijadikan rujukan bagi segmen lebih tinggi.
4. HONDA LANEWATCH
Tahukah anda…Honda menawarkan indikator titik buta di pasaran luar sementara Malaysia menggunakan Honda LaneWatch.
Bagi wilayah Asia Oceania termasuklah Malaysia, pemilihan Honda LaneWatch kerana mengambilkira situasi pasaran, infrastruktur dan lebih ramai pengguna motosikal. Jadi lebih praktikal dan Honda LaneWatch lebih mudah mengesan objek berhampiran kenderaan.
5. JARAK RODA LEBIH PANJANG
Civic adalah model global dan Honda menjalani ujian di negara Eropah yang mana kestabilan kenderaan sangat diutamakan.
“Jadi struktur badan dengan memanjangkan jarak roda mampu meningkatkan kestabilan kenderaan, tetapi pada masa sama ketangkasan stereng turut dinaik taraf untuk memberi pengendalian lebih baik,” kata Tomoyuki.
Kestabilan adalah salah satu sebab utama Honda memutuskan untuk meningkatkan jarak roda.
Dalam angin lintang dan apabila badan kereta berpusing, pemandu sebenarnya dapat merasakan peningkatan dalam kestabilan.
Bagi kebimbangan mengenai understeer, Honda menggunakan peranti seperti Agile Handle Assist dan ketegaran stereng yang lebih baik supaya dapat mengimbangi kestabilan dengan pengendalian.
Selain itu, Honda Malaysia turut menawarkan penjimatan sehingga RM12,000* bagi pembelian Civic pada bulan Oktober ini.
Menerusi kempen Unwrap Big Savings, pelanggan boleh merebut rebat RM10,000* bagi varian RS dan e:HEV RS manakala RM12,000* bagi varian V dan E (*tertakluk pada terma dan syarat).