Daihatsu Gran Max merupakan sebuah van komersial ringan yang wujud di pasaran sejak tahun 2007 lagi.
Ia juga dipasarkan sebagai model Toyota Town Ace sejak tahun 2008 dan Mazda Bongo sejak tahun 2020 di pasaran tertentu.
Jika anda sudah mula rasa bosan dengan rupa paras Gran Max/Town Ace, boleh cuba lihat penawaran kit badan “Mount Ace” yang dibuat oleh syarikat Papamama Cars yang berasal dari Osaka, Jepun ini.
Ciri yang menonjol pada Mount Ace ini ialah muka hadapan yang lebih agresif, di mana struktur jeriji, bampar dan skid plate stail aluminium itu jelas kelihatan diinspirasikan daripada SUV Lexus GX.
Selain itu, ia turut menampilkan unit lampu utama kustom, diikuti dengan hud dan fender hadapan yang lebih berisi.
Papamama turut menawarkan kit suspensi yang lebih tinggi, dipadankan dengan tayar Maxxis Mudder Buckshot, layangan warna kuning bas sekolah dan pilihan untuk memasang rak bumbung.
Untuk ruang kabin, terdapat pelindung tempat duduk baharu serta alas lantai yang lebih tebal, serta naik taraf sistem infohibur aftermarket, sistem navigasi dan cermin pandang belakang digital.
Terdapat juga pilihan untuk memasang kit katil yang lebih sesuai digunakan oleh golongan pencinta aktiviti outdoor.
Tiada sebarang perubahan teknikal dibuat, bermakna Toyota Town Ace ini masih lagi kekal dengan enjin empat silinder 1.5 liter berkuasa 95 hp yang dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik 4-kelajuan.
Kos keseluruhan untuk mengubah sebuah Town Ace menjadi Mount Ace dianggarkan bernilai 3,198,000 yen (RM92,584).