Sebuah jet hipersonik sedang dibangunkan untuk membolehkan ia membawa penumpang dari New York ke London, dalam masa kurang sejam, berbanding tujuh jam pada masa ini.
Jarak perjalanan antara dua bandar itu adalah hampir 5,632 kilometer (km).
Portal news.com.au melaporkan, Venus Aerospace, sebuah syarikat aeroangkasa di Texas, sedang berusaha untuk membina jet hipersonik itu yang digelar Stargazer.
Pesawat itu akan bergerak kira-kira enam kali kelajuan bunyi dan pada ketinggian yang lebih tinggi berbanding penerbangan dengan jet komersial biasa.
Ia dijangka tiga kali lebih pantas daripada jet Concorde, dan lima kali ganda lebih laju daripada pesawat Nasa yang akan datang.
Menurut portal sama, Stargazer dianggarkan menelan belanja AS$33 juta (kira-kira RM141.4 juta) hingga AS$48 juta (kira-kira RM205.6 juta).
Ia akan berlepas menggunakan enjin jet tradisional dan kemudian beralih kepada enjin VDR2 sebaik sahaja mencapai ketinggian sesuai.
Jet hipersonik itu bukan sahaja lebih laju, malah terbang pada ketinggian mencapai sehingga 110,000 kaki atau kira-kira 33,528 meter (m).
Sebagai perbandingan, jet Concorde mencapai kira-kira 60,000 kaki (kira-kira 18,288 m), dan ketinggian biasa jet penumpang adalah sekitar 35,000 kaki (10,820 m).
Sebelum ini, jet Concorde adalah pesawat komersial terpantas di dunia, namun pesawat itu tidak lagi beroperasi sejak 2003.