Perlu ke tekan tiga kali butang penghidup enjin untuk elak cepat rosak?

29646

Baru-baru ini tular sekejap di laman Twitter dimana seorang pengguna mendakwa butang penghidup enjin kenderaan (start/stop) perlu ditekan tiga kali untuk mengelakkan kerosakan enjin dan sistem ignition.

Imej: Facebook Farid Awaluddin

Ini bermakna, tekan kali pertama tanpa memijak pedal brek untuk membuka kunci stereng, tekan kali kedua untuk menghidupkan aksesori (ACC) dan kali ketiga sambil memijak pedal brek untuk menghidupkan enjin.

Kicau di Twitter itu mendapat lebih 390 Retweet sebelum ia dipadam. Kami tidak pasti mengapa, katanya pengguna akaun itu mengaku tersilap mendakwa sedemikian.



Apa pun, kami rasa perkara ini perlu dijelaskan juga untuk mengelak lebih banyak kekeliruan. Dan lebih bahaya lagi, menularnya ajaran-ajaran sesat dunia automotif.

penghidup enjin

Jadi, benarkah perlu mengikut “langkah” menekan tiga kali butang ini? Adakah enjin dan sistem nyalaan akan cepat rosak jika hanya menekan sekali?

Jika anda belek buku manual kereta-kereta lama lewat 80-an dan pertengahan 90-an, sesetengahnya menggalakkan pemandu untuk menunggu sehingga lampu “check engine” padam sebelum memusing kunci habis untuk menghidupkan enjin.

Langkah ini – menurut rakan kami di Paultan – adalah untuk mengelak kotak komputer ‘terkejut’ ketika semua sistem diperiksa sendiri oleh komputer ketika mula menerima bekalan elektrik.

Namun sebenarnya belum pernah ada kes kerosakan dilaporkan disebabkan terus memulas kunci sebelum lampu “check engine” terpadam. Lain lah penghawa dingin kereta lama yang perlu dimatikan dahulu kerana boleh “memberatkan” sistem kenderaan semasa hendak dihidupkan.

Sistem suntikan bahan api cukup bijak

Sistem suntikan bahan api dan nyalaan kenderaan moden sebenarnya cukup bijak untuk mengawal proses menghidupkan enjin ini. Anda tidak perlu mengikut “langkah” tiga kali menekan butang itu, malah ianya selamat untuk tekan sekali sahaja dan terus pandu.

Risau ada komponen enjin rosak dan enjin tidak selamat untuk dihidupkan? Komputer dan sistem kereta tidak akan membenarkan enjin dihidupkan dari awal jika ada masalah, dan lampu amaran tertentu akan menyala.

Sebenarnya industri automotif berkembang sejajar dengan industri lain seperti elektronik. Komponen elektronik pada kenderaan kini mampu memproses beratus malah beribu maklumat sesaat.

Ambil contoh sistem brek anti-kunci atau ABS. Pengesan kelajuan roda membuat beratus perkiraan sesaat untuk mengawal kadar brek ketika anda membrek di permukaan kurang cengkaman untuk memastikan kereta dapat berhenti dengan selamat dan terkawal.

Malah salah satu pengeluar elektronik seperti Bosch yang membekalkan ABS kepada kebanyakan pengeluar di dunia ini pun sudah mempunyai pelbagai versi terkini perisian mereka, sama seperti anda mengemaskini (update) perisian komputer dan telefon pintar anda.

Anda boleh lihat sendiri kelajuan perisian pada peranti elektronik hari ini dan bandingkannya dengan perisian 10 tahun lepas. Jauh berbeza, bukan?

Jadi tidak perlu risau akan perkara sebegini kerana selain kemajuan komponen elektronik, jurutera juga telah melakukan pelbagai ujian dan berfikir beberapa langkah ke depan dari kita.

penghidup enjin

Jika benar menekan butang penghidup sekali sahaja boleh merosakkan atau memendekkan jangka hayat enjin atau sistem nyalaan, mengapa tiada prosedur ditekankan dalam buku manual untuk langkah ini?

2 KOMEN

  1. Rujuk user manual kereta masing2. Kereta aku tak payah tekan brek pun. Ada kereta lain kena tekan brek dulu baru boleh hidup.

    • Bukan brek tu isunya. Isu di sini ialah berapa kali perlu tekan butang Start tu. Sebenarnya tekan sekali terus hidup pun tak ada masalah. Tak perlu pun tekan tiga kali atau buat tiga step tu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here