Perjalanan pulang Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menggunakan pesawat tambang murah, Scoot dari Vientiane, Laos menarik perhatian warga media sosial.
Penumpang pesawat di Vientiane, Laos tersebut bukan saja berpeluang menaiki satu pesawat dengan Perdana Menteri mereka bahkan melihat secara langsung acara rasmi penghantaran pulang pemimpin itu.
@channelnewsasia That moment when you spot a surprise VIP passenger. People on a Scoot flight cheered when Singapore Prime Minister Lawrence Wong boarded their flight from Laos to Singapore, after he had attended ASEAN meetings earlier in the week. (Video: CNA/Leong Wai Kit) #sgnews #singapore #laos
Lawrence Wong terkejut apabila kehadirannya dalam pesawat disambut dengan sorakan dan tepuk tangan terutamanya warga emas Singapura yang pulang dari bercuti.
Beliau tersenyum lalu melambaikan tangan sebelum duduk di kerusi kelas ekonomi dengan ruang kaki tambahan di barisan pertama.
Perdana Menteri berusia 51 tahun itu menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan yang mana Laos menjadi tuan rumah, awal minggu ini sebelum terbang pulang pada Sabtu.
Berdasarkan carian di Internet, harga tiket penerbangan sehala dari Vientiane ke Singapura adalah serendah SGD197 (RM648) dan bayaran tambahan bagi kelas ekonomi dengan ruang kaki yang luas.
Menerusi akaun Facebook rasmi Perdana Menteri Singapura itu, belia berkongsi momen berkenaan dengan kapsyen, “Kembali dari Laos. Terasa seperti di rumah, sebaik sahaja saya menaiki pesawat! Terima kasih semua atas sambutan hangat!”.
Perkongsian yang tular itu mendapat pujian dalam kalangan rakyat Singapura yang mana memuji beliau sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan merendah diri.