Pandu Nissan Almera laju, polis temb4k dalang sindiket rompak emas

158

Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai dalang sindiket samun bersenjata yang menyasarkan pemborong emas di Jalan Slim Lama, Tanjong Malim, awal pagi ini.

Pemeriksaan latar belakang oleh polis menunjukkan suspek adalah ‘perancang utama’ kumpulan penjenayah yang menyasarkan emas yang dibawa pemborong.



Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata bahawa Pusat Kawalan Daerah Muallim menerima maklumat kejadian tembak-menembak antara seorang penjenayah dan pihak polis pada jam 3.10 pagi tadi.

“Ketika menjalankan rondaan dan risikan, polis mengesan seorang lelaki yang memandu laju sebuah Nissan Almera di sepanjang Jalan Slim.

“Polis mengarahkan lelaki berusia 43 tahun itu supaya memberhentikan kenderaannya, tetapi dia terus memecut laju dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta peronda polis.

“Bagi mempertahankan diri, polis membalas tembakan dan terkena suspek. Lelaki itu disahkan mati di tempat kejadian oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Tanjung Malim,” katanya.

Azizi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu berasal dari Klang, Selangor dan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan rompakan berkumpulan, sengaja menyebabkan kecederaan, dan penipuan.

“Semasa pemeriksaan ke atas kereta itu, polis merampas sepucuk pistol Sig Sauer, satu kelopak peluru, enam butir peluru, tiga botol berisi peluru pistol dan dua bilah parang.

“Dalam insiden tembak-menembak itu, sebuah kereta peronda polis terkena tembakan di pintu belakang sebelah kiri penumpang,” katanya sambil menambah bahawa tiada anggota polis yang cedera dalam kejadian itu.

Hasil pemeriksaan, kumpulan itu terlibat sekurang-kurangnya 25 kes rompakan emas di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Perak sejak 2018.

Jumlah kerugian dianggarkan daripada 25 kes ini adalah sebanyak RM34.2 juta.

Azizi berkata bahawa dalam kejadian terbaru, suspek terlibat dalam rompakan pembekal emas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, pada 27 Ogos tahun ini.

Kejadian itu mengakibatkan kehilangan 4.5kg emas, yang dianggarkan bernilai RM1.485 juta dan polis sedang mengesan baki ahli kumpulan bagi menghalang insiden jenayah seterusnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here