Zameer Pentbrush contengan anime cetus tren dalam kalangan pemilik kereta

12

Siapa sangka, menerusi minat dan usaha keras, Mohd Rozamil Mohd Yatim atau Zameer Pentbrush, mencetuskan tren dalam kalangan pemilik kenderaan di negara ini.

Pelukis dari Seberang Takir, Terengganu ini menjadi buruan ramai pemilik yang ingin memberi identiti unik kepada kenderaan mereka melalui lukisan berkonsep contengan anime.



Menggunakan teknik borderline yang dimahiri secara dalam talian, Zameer, 39 bukan sahaja menerima tempahan dalam negara tetapi juga di Brunei dan Singapura dengan ada yang sedia membayar ribuan ringgit untuk mendapatkan sentuhan beliau.

Zameer berkata beliau menghasilkan seni di atas badan kenderaan secara spontan dengan lukisan dibuat dalam bentuk komik dan anime.

“Saya tidak sediakan lakaran awal tetapi hanya berdasarkan gambaran dan perbincangan dengan pelanggan tentang apa yang mereka inginkan.

“Kemudian saya akan mula melukis. Jika ada perlu ditambah, pelanggan akan beritahu dan saya akan ikut sehingga mereka berpuasa hati dengan seni yang dihasilkan,” katanya.

Setiap karyanya mengambil masa antara tiga ke lima jam untuk disiapkan.

CONTENG  LEBIH 30 KENDERAAN

Zameer yang turut berpengalaman selama 19 tahun dalam teknik airbrush berkata sehingga kini telah melakukan contengan ke atas lebih 30 kenderaan termasuk lori, MPV, motosikal dan jentera berat.

Mengakui pernah dikecam oleh pihak yang menganggap kerja beliau sebagai vandalisme serta kerja gila dan merosakkan kenderaan, namun Zameer tidak ambil endah dengan kecaman itu.

“Apabila ia (seni) kembali tular awal tahun ini, saya tidak sangka dapat meraih perhatian masyarakat dan menerima banyak maklum balas positif,” jelasnya.

Beliau menggunakan pena penanda akrilik yang tidak merosakkan cat asal kenderaan selain dapat bertahan sehingga setahun atau lebih lama jika badan kenderaan dibalur dengan lapisan filem perlindungan cat (PPF) berkualiti.

Dua anaknya yang masing-masing berusia 13 dan 11 tahun turut membantu dalam menyiapkan karya.

“Jika tempahan memerlukan saya berada di luar daerah selama dua hingga tiga hari dan tidak melibatkan hari persekolahan, saya akan bawa keluarga termasuk isteri saya untuk memenuhi tempahan itu,” kongsi beliau.

@zameerpentbrush

Thank you trust me🫡#zameerpentbrush #cartooncar

♬ original sound – Zameerpentbrush – Zameerpentbrush

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here