Kementerian Pengangkutan (MOT) menjangkakan projek pembangunan semula Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) dapat dimulakan awal tahun depan, lapor Bernama.
Menteri berkenaan Anthony Loke berkata setakat ini, syarat dan ketentuan untuk projek pembangunan semula Perkongsian Awam Swasta (PPP) masih dalam perundingan antara Unit Perkongsian Awam Swasta (Ukas) dan pemaju.
“Kami perlu memuktamadkan perjanjian terlebih dahulu sebelum dapat memulakan pembinaan, jadi kami berharap perundingan ini dapat diselesaikan dalam tahun ini, dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, dan mudah-mudahan projek pembangunan semula dapat dimulakan awal tahun depan.
“Dengan PPP, keseluruhan kos akan ditanggung oleh pemaju, sebagai balasan, pemaju akan menerima hak udara untuk pembangunan yang membolehkan mereka membina bangunan di atas stesen, mencipta pembangunan bercampur,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Loke berkata demikian apabila ditanya tentang kemajuan pembangunan semula KL Sentral yang sebelum ini dilaporkan akan bermula akhir tahun ini.
Beliau juga memberi jaminan bahawa KL Sentral akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang projek pembangunan semula tersebut.