China buka pra jualan Xiaomi SU7 Ultra, harga RM501,968

1646

Bakal dilancarkan secara rasmi pada Mac 2025, Xiaomi kini membuka pra jualan sedan elektrik SU7 Ultra pada harga CNY814,900 (RM501,969).

Kereta sukan itu masih lagi menggunakan bahasa rekaan SU7 standard yang mana versi Ultra menggunakan bampar sporty, spoiler belakang lebih besar dan badan yang lebar serta rim 21 inci bersama tayar Pirelli P Zero 5.



Xiaomi SU7 Ultra memiliki panjang 5,115mm, lebar (1,970mm) dan tinggi (1,465 mm) dengan jarak roda 3,000mm.

Lebar spoiler belakang SU7 Ultra adalah lebar 1,560mm dan dipadankan dengan diffuser aktif. Ini menyumbang kepada downforce 285kg.

Masuk ke kabin, Xiaomi SU7 memiliki kerusi sporty dengan tali pinggang keledar berwarna kuning dan stereng serta sisi pintu kemasan kulit Alcantara.
 
Material gentian karbon disisipkan pada sil pintu, stereng, belakang kerusi depan, konsol tengah, cermin pandang sisi dan bingkai pendingin hawa penumpang belakang. 

BREK CAKERA SERAMIK TERBESAR DALAM SEGMENNYA

SU7 Ultra menggunakan bateri Qilin 2.0 keluaran CATL dengan kapasiti 93.7kWh dan kuasa nyahcas maksimum 1,330kW.

Ia memiliki sistem penyejukkan dua permukaan dan struktur sel ke badan (CTB). Bateri baharu menyokong pengecasan 5.2C DC. Ini bermakna kuasa pengecasannya adalah kira-kira lima kali ganda kapasiti bateri.

Proses pengecasan 10 hingga 80 peratus hanya mengambil masa 11 minit. SU7 Ultra didatangkan dengan tiga motor elektrik (dua V8 dan satu V6) yang menghasilkan kuasa 1,526hp dan tork 1,770Nm.

Selain itu, kereta sukan itu juga dilengkapi dengan brek cakera seramik terbesar dalam segmennya yang bersaiz 430 mm x 40 mm (depan) dan 410 mm x 32 mm (belakang).

Dikatakan komponen itu boleh mengendalikan suhu maksimum melebihi 1300 celcius. Kemudian, ia dipadankan dengan kaliper 6-piston Akebono pada gandar depan dan kaliper 4-piston (belakang).

Menurut Xiaomi, SU7 Ultra boleh berhenti dari 100 kmj dalam jarak 30.8 meter. 

Pada 24 Oktober lalu, SU7 Ultra Prototaip menjadi kereta empat pintu terpantas di Nürburgring Nordschleife, mencapai masa pusingan 6:46.874.

Ketika pembentangan, Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi, Lei Jun menyebut harga Porsche Taycan Turbo GT mencecah CNY 1,998,000 (RM1.2 juta) di China dengan kuasa lebih rendah daripada SU7 Ultra. 

SU7 Ultra mendapat 3,680 unit tempahan dalam tempoh 10 minit selepas pembentangan EV itu tamat. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here