Insiden pengecas USB : Periksa secara berkala sistem bekalan kuasa utama bas ekspres

55

Pemeriksaan berkala terhadap sistem bekalan kuasa utama bas ekspres perlu dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali dan bukan hanya dalam satu tempoh masa yang panjang.

Presiden Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Utara Semenanjung Malaysia (KSIEWUSM), Mohd Razi Rahim berkata inisiatif tersebut wajib dilakukan melibatkan seluruh komponen kenderaan sama ada luar atau dalam terutamanya sistem elektrik.



Menurutnya, walaupun tiada undang-undang yang ditetapkan untuk melakukan sedemikian tetapi kaedah berkenaan boleh dijadikan sebagai rutin bagi memastikan tahap keselamatan penumpang lebih terjamin.

“Jika sistem bekalan kuasa utama berfungsi dengan baik, pengecas di setiap tempat duduk juga akan beroperasi dengan baik.

“Sekiranya terdapat masalah dengan sistem bekalan kuasa utama seperti kegagalan, risiko kebakaran atau kerosakan pada pengecas boleh berlaku dan bakal mengakibatkan kemalangan serius.

Insiden terbaru telah menunjukkan betapa pentingnya penyelenggaraan sistem elektrik dalam bas bagi memastikan keselamatan semua penumpang,” katanya.

Tambah beliau pihak pengusaha bas juga boleh menanda soket yang bermasalah dengan menampal pelekat amaran supaya tidak digunakan oleh pengguna.

Ujarnya, selain memastikan soket yang digunakan sudah mendapat kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), pengguna juga perlu cakna dengan peranti yang digunakan.

“Keadaan soket, pengecas telefon bimbit termasuk kabel USB yang digunakan juga wajib diteliti terlebih dahulu sebelum digunakan kerana daripada segi visual pun kita boleh nampak ada kecacatan macam koyak dan sebagainya.

“Daripada situlah langkah berjaga-jaga perlu dilakukan menerusi pemeriksaan berkala kerana perkara seperti renjatan elektrik jarang berlaku, namun jika sedikit leka ia boleh mengakibatkan kemalangan jiwa atau kematian.

“Lebih bahaya lagi jika peranti seperti kabel USB atau pengecas telefon dijual pada harga murah atau lelongan. Kita tidak tahu sejauh mana jaminan keselamatan yang masih elok atau sebaliknya,” jelasnya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here