Setelah 25 tahun, nenek ini mahu jual semula RX-7 miliknya kepada Mazda

140

Setelah memandu selama 25 tahun, seorang wanita Jepun, Naoko Nishimoto membuat keputusan untuk melepaskan kereta sports Mazda RX-7 miliknya menjelang sambutan ulang tahunnya ke-80 yang bakal tiba pada Disember ini.

Kisah Nishimoto dan Mazda RX-7 tersebut bermula ketika wanita tersebut berusia 55 tahun dan mahu mencari sebuah kereta dua tempat duduk yang baharu.

Setelah merayau di lebih 10 buah pengedar, beliau tidak menjumpai model kereta yang diinginkan.



Namun, Nishimoto segera jatuh hati dengan RX-7 setelah menonton siri animasi Initial D yang direkodkan oleh anaknya, dan segera membeli sebuah Mazda RX-7 berwarna perak serba baharu dengan harga sekitar 3 juta yen (RM85,840).

Kereta sports rotari bertransmisi manual tersebut dipandu setiap hari, dan kini mencatatkan perbatuan sekitar 75,000 km.

Menurut laporan Mainichi JP, Nishimoto membuat keputusan untuk menjual kereta tersebut menjelang hari jadi yang ke-80 sekaligus menyerahkan lesen memandunya tanpa rasa menyesal.

Pada mulanya, beliau mahu menjual kereta tersebut kepada pemilik wanita yang lain, malah kisahnya itu turut disiarkan di televisyen dan media lain.

Mujur, jabatan PR Mazda Jepun mengetahui kisah nenek tersebut dan segera menghubunginya.

“Kami percaya ‘kisah hidup yang panjang dan bertenaga menerusi kuasa sebuah kereta’ ini mampu memberikan inspirasi kepada ramai orang,” syarikat itu memberitahu Nishimoto.

Biarpun telah menerima 400 emel dari pihak yang berminat untuk membeli kereta sports tersebut, Nishimoto membuat keputusan untuk menjual kembali RX-7 miliknya kepada Mazda supaya ia dapat terus dilihat oleh orang ramai.

Tambah laporan itu lagi, kereta tersebut akan diperiksa oleh pakar sebelum digunakan sebagai kenderaan promosi untuk pelbagai acara yang dianjurkan di sana.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here