Bakal bersaing dengan Honda X-ADV, Kymco mendedahkan skuter adventure pertamanya di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2024.
Kymco CV-R5 itu dikuasakan enjin 427cc silinder tunggal dengan output 34.4hp dan tork 40Nm bersama ride by wire. Penghantaran kuasa ke roda belakang disalurkan menerusi transmisi CVT.
Skuter berkenaan menampilkan reka bentuk geometri dengan garisan badan yang tajam. Ia kemudian dipadankan dengan lampu depan LED penuh.
Elemen tersendiri yang lain termasuk bar hendal yang tinggi tanpa penutup, pelindung tangan dan ekzos sporty. Manakala ‘terowong’ tengah yang tinggi mengalir ke tempat duduk dengan tinggi 800mm.
Sementara, tuangan simpanan barang di bawah pelana mampu memuatkan helmet muka penuh.
Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuk penghidup tanpa kunci, paparan TFT berwarna dengan sambungan telefon pintar, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), kawalan cengkaman dan pemantauan angin tayar.
Keselesaan tunggangan diserahkan kepada fork terbalik dan monoshock dengan sistem pengurusan tork pivoting (PTM).
CV-R5 dengan berat 210kg itu disokong dengan rim aloi bersama tayar bersaiz 120/70-15 (depan) dan 150/70-14 (belakang).