Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut langgar kereta arah bertentangan

435

Seorang penunggang motosikal kuasa tinggi maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta ketika konvoi di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, Batu Pahat pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian kira-kira 10.15 pagi itu melibatkan tiga motosikal kuasa tinggi dan sebuah kereta.



“Ketika kejadian konvoi motosikal tersebut dari arah Segamat menghala ke Kluang dan apabila sampai di lokasi kejadian motosikal pertama bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan sehingga menyebabkan penunggang maut.

“Akibat kemalangan itu menyebabkan motosikal kedua terlanggar motosikal pertama lalu terbabas. Kemudian motosikal ketiga yang datang dari arah belakang terbabas selepas melanggar serpihan kemalangan,” katanya. 

Mangsa yang maut berusia 64 tahun akibat kecederaan parah di bahagian leher dan organ dalaman badan.

Tambah beliau, penunggang ketiga berumur 29 tahun dan  pemandu kereta, 32 mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000. 

Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan polis atau hubungi Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here