Modenas serah 1,092 MEV-1 Pro kepada Pos Laju, kini lebih tahan panas dan daki bukit lebih tinggi

169

Modenas menyerahkan 1,092 unit motosikal elektrik (EV) MEV-1 Pro kepada Pos Malaysia Berhad.

Motosikal-motosikal berkenaan akan dihantar secara berperingkat dan menyertai armada EV sedia ada milik syarikat, termasuk 220 motosikal elektrik dan 143 van elektrik.



Modenas menyatakan bekerjasama dengan VMoto membangunkan MEV-1 PRO sedia ada bagi memenuhi keperluan kakitangan penghantar barang Pos Malaysia.

Versi kedua ini menerima penambahbaikan berbanding 220 unit kumpulan pertama selepas menerima maklum balas daripada Pos Malaysia.

Menurut Ketua EV dan Penasihat Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Modenas, Azizul Aziz Ishak, pihaknya mengambil masa selama setahun bagi ujian dan penambahbaikan skuter elektrik tersebut.

“Kemampuan mendaki sebelumnya hanya 14 darjah sekarang penambahbaikan hampir 20 darjah. Jadi motor boleh mendaki pada cerun lebih tinggi.

“Berbanding kumpulan pertama, MEV-1 Pro ini lebih tahan panas disebabkan perubahan dalam vehicle control unit dan sistem bateri. Jadi motor tidak akan panas mengambilkira operasi kerja Pos Laju yang ekstrem,” katanya.

Penambahbaikan lain yang dilakukan termasuklah pendakap (bracket), motor elektrik, panjang fork depan direndahkan, saiz tayar depan dan belakang lebih kecil dan penambahan brek parkir.

Di samping itu, skuter berkenaan juga memiliki keupayaan membawa muatan berat sehingga 30kmj (mengikut spesifikasi JPJ).

Tambah Azizul, skuter yang sudahpun menjalani ujian enduran 10,000km tersebut boleh mencapai perbatuan sejauh 140km dengan sekali cas.

Ia ditawarkan dengan tiga mod tunggangan iaitu Mod 1 dengan kelajuan 60kmj (sesuai untuk kawasan perumahan; Mod 2 kelajuan 70kmj (jalan biasa atau transit perumahan ke perumahan) dan Mod 3 pada kelajuan 90-95kmj (jalan terbuka).

Menerusi Sistem Telematik Modenas Fleet Management membolehkan pihak Pos Laju mendapatkan data penggunaan kenderaan misalnya kelajuan, lokasi dan penggunaan bateri. 

Direka untuk menangani beban berat, MEV-1 Pro menyokong kapasiti keseluruhan hingga 250kg, termasuk berat penunggang hingga 100kg dan kargo hingga 150kg dan kuasa maksimum 4.3 kW. 




APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here