Pemasangan CKD Proton Saga di Mesir bermula bulan depan

134

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan pengoperasian kilang pemasangan (CKD) kereta Proton Holdings Berhad di Kaherah, Mesir yang dijangka mula beroperasi bulan depan.

Anwar berkata pemasangan model Proton Saga di Mesir itu adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk membawa cara pemikiran baharu kerjasama antara kedua-dua negara.



“Proton bukan hanya industri automotif di Malaysia, ia adalah kebanggan negara, ia adalah jenama yang dikaitkan dengan Malaysia..terkenal di banyak negara malah di Eropah,” katanya.

Tambah beliau, usaha sama berkenaan penting untuk memajukan industri tempatan kedua-dua negara.

“Keberadaan Malaysia di Mesir ini adalah sebagai rakan kongsi berdasarkan kepercayaan dan persahabatan,” jelasnya. 

Menurut Anwar, rancangan pengeluaran bagi kilang pemasangan Proton Saga itu akan menambah eksport Proton ke Mesir kepada 16,000 unit antara 2024 hingga 2026, yang disasar menjana pendapatan sebanyak RM570 juta.

“Sebanyak RM20 juta pendapatan lagi dijangka dijana melalui jualan alat-alat ganti bagi menyokong perkhidmatan,” kata beliau.

PEMASANGAN CKD PEMANDUAN KIRI PERTAMA PROTON

Sementara itu, Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata pihaknya akan terus meneroka pasaran baharu bagi memastikan jenama kereta tempatan itu terus maju.

Beliau berkata setiap tahun eksport Proton semakin meningkat dan dalam tempoh jangka sederhana syarikat itu berhasrat menjadikan Mesir sebagai hab utamanya bagi rantau utara benua Afrika.

Menurutnya, pusat pemasangan serantau di Giza, Mesir itu akan menjadi yang pertama untuk model pandu kiri syarikat berkenaan di luar negara.

“Kami berharap platform ini memberikan potensi untuk Proton berkembang lebih jauh ke negara jiran dengan menjadikan Mesir sebagai hab utama,” katanya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here