Bimota dedah superbike KB998 Rimini versi jalan raya, hanya tersedia 500 unit

3

Bimota mendedahkan versi jalanan KB998 Rimini dengan 500 unit pengeluaran dan bakal tersedia dua tahun lagi. 

Pakar casis Itali itu menghasilkan 998 dengan satu matlamat utama iaitu membangunkan jentera yang mematuhi peraturan FIM serta membolehkan mereka memasuki peringkat global kejohanan Superbike Dunia (WorldSBK) menerusi pelumba Alex Lowes dan Axel Bassani. 



Regulasi menetapkan bahawa 250 unit homologasi mesti dikeluarkan dan tersedia untuk jualan awam sebelum 31 Disember 2025 manakala baki 250 unit lagi perlu dipasarkan dalam tempoh 12 bulan berikutnya.

Harga runcit GBP 44,000 (RM208,122) juga mematuhi nilai maksimum yang dibenarkan untuk jentera yang dimasukkan dalam kejohanan.

Pelancaran jentera jalanan itu selepas pengenalan superbike lumba Bimota pada Oktober, menjelang ujian Kejuaraan WorldSBK di Jerez yang mana pasukan itu meraih masa pusingan kedua dan ketiga terbaik.

JALANI BANYAK UJIAN TEROWONG ANGIN

Ketua Pegawai Operasi Bimota, Pierluigi Marconi berkata pihaknya mereka jentera itu untuk kegunaan kelajuan tinggi dan menjalani banyak ujian di terowong angin.

“Semuanya boleh laras, kita boleh menyesuaikan tetapan stereng, ketinggian, dan kita juga mempunyai sayap yang boleh laras untuk kelajuan. Ini merupakan kelebihan kami buat masa ini yang tiada pada jentera lain. 

“Ini membolehkan kami mempunyai tetapan terbaik untuk setiap selekoh dan pada sebarang kelajuan.

“Sayap itu boleh laras secara elektronik, penunggang tidak boleh membuat sebarang perubahan, tetapi semuanya automatik. Ia berfungsi untuk brek, selekoh dan kelajuan tinggi,” katanya. 

KB998 memiliki ciri aerodinamik yang dikawal secara elektronik. Marconi mengesahkan bahawa Bimota tidak berhasrat untuk membina pengeluaran yang lebih luas. Namun, mencadangkan versi yang diperbaharui mungkin akan muncul dua tahun ke depan.

GUNA ENJIN ZX-10RR

Menggunakan enjin Kawasaki ZX-10RR dengan berat 194kg (tanpa bahan api), ia menghasilkan kuasa 200hp @ 13,600rpm dan tork 111Nm @ 11,700rpm.

Selain daripada silender ekzos berbeza yang merupakan unit Akrapovic yang sah di jalan raya, Bimota tidak membuat sebarang perubahan pada janakuasa 998cc empat sebaris penyejukkan cecair itu. 

Walaupun enjinnya mungkin bukan rangkaian kuasa yang paling eksotik, bingkainya sangat istimewa. Bimota terkenal di seluruh dunia kerana reka bentuk casis mereka, dan tetapan hibrid pada KB998 pastinya tidak mengecewakan.

Pengapit tiga kali ganda aluminium bilet boleh laras mencengkam suspensi Showa terbalik Bimota yang boleh laras sepenuhnya. Penyerap hentak belakang juga merupakan unit Showa dan berkemungkinan unit BFRC yang sama dipasang pada ZX-10RR.

Kuasa henti datang dari Brembo dengan sepasang angkup Stylema di depan. Kemasan gentian karbon boleh dilihat di banyak bahagian dengan kesemua fairing dan intake menggunakan material ringan. 

Alat suis, papan pemuka TFT dan elektronik semuanya diambil daripada sportbike Kawasaki yang mana pemilik bakal mendapat Sistem Brek Anti Kunci (ABS) selekoh, kawalan cengkaman, kawalan pelancaran, penukar pantas dua arah, dan juga kawalan kruise.

Begitu juga, KB998 berkemungkinan menerima empat mod tunggangan yang sama seperti Kawasaki iaitu Sport, Road, Rain dan Rider.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here