Akaun Youtube Dirty Tesla melakukan ujian Sistem Pemanduan Sendiri (FSD) Cybertruck dengan menggunakan pelbagai saiz dan jenis objek sebagai halangan.
Menerusi video yang dikongsi, hos akaun Youtube tersebut, Chris menjalankan ujian di jalan tanah pada kelajuan antara 32kmj hingga 48kmj.
Dalam ujian yang dijalankan, Tesla Cybertruck gagal mengesan kebanyakan objek yang diletakkan di tengah jalan berkenaan bermula daripada kotak kecil, bola saiz besar dan kecil sehingga patung saiz kanak-kanak.
Ujian FSD Cybertruck mendedahkan ketidakselarasan yang membimbangkan apabila objek kecil diletakkan di laluannya.
Pada ujian ketiga, Chris meletakkan kotak bingkai katil dalam posisi tegak di tengah laluan. Menerusi video berkenaan, sistem FSD mengesan objek tersebut pada skrin infotainmen bagaimanapun trak pikap tidak berhenti.
Sebaliknya, sistem mengemudi Cybertruck ke bahagian sisi bagi mengelak kotak tersebut. Pada ujian basikal kanak-kanak pula, sistem mengesan objek tersebut lalu melakukan brek kecemasan.
“Kereta memperlahankan pecutan dan skrin menunjukkan objek manusia sebentar dan kereta berhenti.
“Ia juga berhenti agak jauh dan syukur kereta berhenti..Ia kesan objek ini (basikal) yang mana lebih penting berbanding objek sebelum ini,” kata Chris.
Bagi ujian basikal dalam keadaan pegun dan bergerak, sistem mengesan objek berkenaan lalu berhenti, terima kasih kepada Brek Kecemasan Autonomi (AEB).
Tambahnya, keputusan tersebut menambah lagi keyakinan untuk menggunakan patung saiz kanak-kanak bagi ujian seterusnya.
Bagaimanapun, ujian menunjukkan kelemahan FSD yang mana objek tersebut hampir tidak kelihatan pada skrin sehinggakan Chris terpaksa mengambil alih kemudi secara manual.
Walaupun tangan patung berkenaan diangkat ke atas bagi meningkatkan keterlihatan, FSD masih gagal mengesan objek tersebut.
Justeru itu, Chris menjadikannya dirinya sebagai objek halangan dan FSD bertindak balas dengan tidak konsisten. Misalnya, Cybertruck secara berbahaya bergerak di sekelilingnya dengan jarak yang tidak selamat.
Dalam ujian berikut, ia berhenti dengan jarak yang selamat apabila Chris berdiri tepat di laluannya.
KEMALANGAN MELIBATKAN FSD
FSD dikaitkan dengan puluhan kematian dan ratusan kemalangan yang mana di bawah penyiasatan persekutuan.
Teknologi sama juga akan digunakan pada Tesla Robotaxi yang diperkenalkan di Los Angeles pada Oktober lalu. Para saintis dalam AI dan automasi meragui kebolehpercayaan sistem berkenaan.
Tesla memulakan penghantaran Cybertruck kira-kira setahun yang lalu. Pengeluarannya telah meningkat sejak itu dan ia merupakan EV terlaris ketiga di Amerika pada suku ketiga, di belakang Model Y dan Model 3.
Tesla hanya melancarkan FSD pada Cybertruck sekitar September lalu. Walaupun labelnya mengelirukan, FSD bukanlah sistem pemanduan sendiri yang diperakui. Ia adalah sistem bantuan pemandu lanjutan Tahap 2 yang memerlukan pengawasan penuh.