JPJ bangun notifikasi ingatkan tarikh tamat tempoh lesen

42

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang untuk mewujudkan fungsi notifikasi pemakluman tarikh tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia antara penambahbaikan yang sedang dilaksanakan oleh pihaknya seperti terkandung dalam agenda pendigitalan JPJ.

Gambar hiasan

Katanya, fungsi baharu itu akan dimaklumkan kepada orang ramai apabila ia siap dibangunkan dan sedia untuk digunakan kelak.



“Sejak inisiatif pendigitalan JPJ dilancarkan, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ sentiasa komited untuk menambahbaik aplikasi MyJPJ dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan atas talian kepada orang ramai.

“Saya mengalu-alukan cadangan daripada Yang Berhormat (YB) Hulu Selangor untuk kita wujudkan fungsi notifikasi ini supaya orang ramai dapat memperbaharui LKM mereka,” katanya.

UMUM INISIATIF CETAK LESAN DAN CUKAI JALAN FIZIKAL

Susulan usaha pendigitalan dilakukan JPJ, Loke mengakui pihaknya turut menerima rungutan kerana masih ada sebilangan orang ramai yang mahu menggunakan lesen dan cukai jalan fizikal.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan pada awal tahun depan, pihaknya akan mengumumkan satu insiatif kepada orang ramai yang ingin mencetak lesen dan cukai jalan mereka secara fizikal.

“Masih ada rungutan orang ramai iaitu sebilangannya yang masih ingin melihat atau mencetak lesen mereka atau cukai jalan mereka. Jadi, dari segi itu memang kita akan menambahbaik awal tahun depan.

“Oleh itu, kita akan umumkan satu inisiatif kepada mana-mana pihak atau orang ramai yang ingin mencetak lesen mereka secara fizikal, mungkin mereka kena bayar untuk pencetakan berkenaan,” katanya.

Mengenai penggunaan peranti atau aplikasi khas untuk memeriksa cukai jalan secara digital, Loke berkata, pihaknya menyediakan cukup peralatan kepada anggota penguat kuasa ketika menjalankan operasi sekatan jalan raya.

Jadi, katanya, tiada lagi keperluan untuk menyemak LKM secara fizikal.

“Memang SOP (prosedur operasi standard) sekarang ini untuk sekatan jalan raya bukan saja JPJ kerana JPJ juga sudah memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiada lagi keperluan semak LKM secara fizikal.

“Kalau YB pernah melalui sekatan jalan raya baru-baru ini, anggota polis atau JPJ pun tidak dilihat lagi (guna) atau periksa cukai jalan dalam kereta.

“Ini kerana aplikasi atau telefon bimbit mereka dilengkapi dengan sistem di mana mereka perlu tekan saja nombor plat dalam sistem, terus terpapar (maklumat) dalam aplikasi atau gajet mereka sama ada kereta itu ada cukai jalan sah atau tidak,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here