Isuzu D-Max, MU-X pasaran Thailand dapat enjin 2.2L hibrid ringan, lebih jimat bahan api

68

Sebelum Isuzu merealisasikan trak pikap D-Max berkuasa elektrik sepenuh masa yang muncul pada tahun 2025, pengeluar itu mengemas kini penawaran D-Max (dan MU-X) dengan memperkenalkan varian hibrid ringan untuk pasaran Thailand.

Kedua-dua model ladder-frame itu kini mendapat nadi diesel turbo 2.2 liter (nama kod RZ4F) Ddi MaxForce yang mampu menjana kuasa 161 hp dan 400 Nm, tanpa menyebut spesifikasi sistem motor elektrik 48V dan bateri yang digunakan.

Namun begitu, Isuzu mendakwa enjin baharu ini beroperasi dengan lebih senyap, terima kasih kepada penggunaan sistem pengecas turbo berubah-ubah dan proses pembakaran yang dipertingkatkan.



Enjin MaxForce itu dipadankan dengan kotak gear automatik jenis torque converter lapan-kelajuan.

Secara keseluruhannya, sistem hibrid ringan ini menyumbang lebih 55 peratus tork pada permulaan, dan menawarkan 10 peratus lebih penjimatan bahan api berbanding trak diesel standard.

Isuzu D-Max dan MU-X hibrid ringan ini akan mula dijual di Thailand pada 28 November ini, dengan harga jualan bermula THB 595,000 (RM76,583) untuk D-Max manakala MU-X pula bermula dari THB 1,194,000 (RM153,681).

Sama seperti Toyota, Isuzu juga mempunyai strategi ‘multi-pathway’ yang merangkumi pembangunan pelbagai teknologi baharu untuk enjin pembakaran dalaman, BEV, dan sel bahan api (FCEV) untuk disesuaikan dengan pasaran setempat.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here