Bugatti Mistral kini pegang rekod kereta open-top paling laju di dunia, 453.9 kmj!

33

Ini mungkin sekali satu kisah penamat yang cukup manis buat enjin W16 yang telah pun dihentikan pengeluarannya pada Mei yang lalu.

Dalam satu cubaan, Bugatti Mistral dengan spesifikasi binaan sekali ‘World Record Edition’ telah merekodkan kelajuan tertinggi 453.9kmj di litar ujian Papenburg, utara Jerman.

Jentera tanpa bumbung itu dipandu oleh pemandu uji Bugatti yang juga pemenang perlumbaan Le Mans, Andy Wallace yang sebelum ini pernah merekodkan kelajuan tertinggi 490kmj dalam Chiron Super Sport 300+ pada 2019.



Bugatti Mistral mendapat namanya bersempena dengan nama angin selatan Perancis, di mana hanya 99 unit sahaja yang akan diproduksikan menggunakan asas daripada Chiron Super Sport.

Pemilik Mistral one-off ini dikatakan mempunyai tiga lagi unit Bugatti yang telah digunakan untuk memecahkan rekod dunia, iaitu Veyron Super Sport, Vitesse, dan Chiron 300+ – kesemuanya dilayangkan dengan skema warna yang sama.

Ada sebab kenapa Bugatti menggunakan litar Papenburg dan bukan lagi menggunakan litar Ehra-Lessien yang sebelum ini menjadi lokasi untuk rekod kelajuan terdahulu.

Menurut Top Gear, sejak menyertai kerjasama dengan Rimac, Bugatti tidak lagi mempunyai akses kepada litar Ehra-Lessien yang dimiliki oleh Volkswagen.

Litar ujian yang baharu tersebut juga kurang ideal untuk cubaan memecahkan rekod kelajuan tertinggi, disebabkan ia jauh lebih pendek berbanding litar Ehra-Lessien.

Ini bermakna, Andy terpaksa memandu lebih laju di kawasan selekoh untuk membolehkannya mencapai kelajuan maksimum melebihi 450 kmj.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here