Honda Prelude bakal buat kemunculan pertama Asia di KLIMS

6

Honda Malaysia mengesahkan bakal mempamerkan model konsep Honda Prelude di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) yang akan berlangsung 5 hingga 11 Disember di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Ini menjadikan Malaysia negara pertama di peringkat Asia (luar dari Jepun) mempamerkan coupe hibrid tersebut.



Honda Prelude didedahkan di Pameran Mobiliti Jepun (TMS) 2023 yang mana syarikat itu mengesahkan ia akan memasuki fasa produksi.

Prelude versi produksi akan mengekalkan bentuk badan coupe dua pintu seperti yang dipertontonkan menerusi model konsep di TMS 2023.

Walaupun ruang dalamannya tidak pernah ditunjukkan, desas-desus mengatakan ia akan tampil dengan elemen-elemen reka bentuk Honda sedia ada, berserta penjenamaan Prelude dan konfigurasi tempat duduk 2+2.

Honda juga mengesahkan yang model baharu itu akan didatangkan dengan trenkuasa hibrid dengan dua motor elektrik.

Versi konsep memiliki bentuk lebih besar dengan sepasang lampu depan tajam yang kemudian disambung pada bar lampu LED yang diposisikan tepat pada hujung bonet di atas tempat nombor plat.

Bahagian bawah bampar disiapkan dalam warna hitam dengan gril mesh dan mempunyai elemen reka bentuk menegak kecil dengan warna biru.

Profil sisinya begitu sinonim dengan nama Prelude yang kemudian dipadankan dengan cermin sisi bersaiz kecil dengan perumah berwarna hitam.

Honda memilih satu set rim hitam berkilat dan angkup brek biru yang meningkatkan aura prestasi. Garis bumbung mengecil ke bahagian belakang yang kemudian dipadankan dengan bar lampu LED penuh, spoiler lip dan bampar hitam berkilat.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here