Triumph perkenal Tiger Sport 660 (2025) baharu, harga mula RM50,465

34

Triumph Tiger Sport 660 (2025) menerima kemas kini ciri peralatan signifikan agar kekal relevan di pasaran Eropah.

Motosikal sport touring itu menerima tambahan mod tunggangan baharu, kawalan kruise dan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) selekoh.



Bakal berada di pasaran bermula Januari depan, model Triumph itu dijual pada harga mula GBP 8,995 (RM50,465) dengan tambahan GBP 50 (RM280) berbanding model sedia ada.

Enjin 660cc penyejukkan cecair tiga silinder kini patuh regulasi Euro5+ yang menghasilkan kuasa 81hp @ 10,250rpm dan tork 63.7Nm @ 6,250rpm bersama kotak gear 6-kelajuan. 

Janakuasa itu menjanjikan 90 peratus ketersediaan tork di sepanjang julat putaran enjin. Tiger 660 baharu itu turut mengikuti langkah Tiger Sport 800 yang berkongsi frem perimeter tubular keluli.

WARNA BAHARU 

Penampilan model 2025 itu mirip dengan Tiger 660 yang pertama kali diperkenalkan pada 2022, cuma model baharu itu menerima penambahan peralatan elektronik baharu.

Tiger 660 baharu didatangkan dengan tiga mod tunggangan dengan tambahan pilihan mod ‘Sport’ untuk respons terotel lebih pantas.

Terima kasih kepada terotel ride by wire, tawaran kawalan kruise sebagai standard menjadikan kembara jauh lebih santai. Ia boleh dioperasikan menerusi punat pada bar hendal dan visor penghadang angin boleh dilaras secara manual.

Tambahan baharu lain termasuklah pencahayaan LED penuh bagi penglihatan lebih baik terutamanya pada waktu malam, quickshifter dan unit konektiviti My Triumph.

Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah paparan TFT warna penuh yang membolehkan sambungan kepada navigasi, panggilan telefon dan muzik.

Didatangkan dengan pilihan warna baharu Roulette Green, Triumph Tiger 660 disokong dengan suspensi terbalik Showa 41mm dengan travel 150mm (depan) dan monoshock Showa dengan travel 150mm (belakang). 

Rim lima jejari bersaiz 17-inci dibaluti dengan tayar Michelin Road 5 bersama brek depan cakera berkembar 310mm dengan kaliper dua piston Nissan serta brek cakera 255mm dengan kaliper piston tunggal Nissan di belakang.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here