Nissan Motor Corporation didakwa hanya mempunyai tempoh masa 12-14 bulan sahaja untuk mencari pelabur utama baharu bagi memastikan kelangsungan operasinya.
Menurut laporan Financial Times, dua eksekutif Nissan yang enggan dikenali mendedahkan jenama itu kini sedang mencari pelabur baharu.
“Kami mempunyai tempoh masa 12 atau 14 bulan untuk bertahan. Ini akan menjadi satu keadaan sukar. Dan pada akhirnya, kami memerlukan Amerika Syarikat dan Jepun untuk menjana wang tunai.
Antara langkah lain termasuklah mengurangkan sehingga 9,000 tenaga pekerja, menurunkan 20 peratus kapasiti pengeluaran global, melepaskan pegangan dalam Mitsubishi dan melewatkan pelancaran model-model baharu.
Pada ketika ini, Renault telah pun menjual sebahagian daripada 46 peratus pegangan dalam Nissan, dan dalam masa yang sama Honda juga sedang memuktamadkan perjanjian dengan Nissan untuk membangunkan kenderaan elektrik.
Terdapat kemungkinan besar Honda akan muncul sebagai pelabur utama, atau Renault mungkin menjual secara terus pegangan Nissan kepada jenama pesaing.
Bekas CEO Nissan Carlos Ghosn sebelum ini pernah membuat satu kenyataan kontroversi, di mana beliau tidak menyenangi kerjasama yang wujud antara Honda dan Nissan.
“Saya tidak dapat bayangkan untuk seketika bagaimana kerjasama antara Honda dan Nissan berjalan melainkan ia sebuah pengambilalihan.
“Pengambilalihan yang terselindung oleh Honda terhadap Nissan dan Mitsubishi di mana Honda menjadi pemain utama. Ia akan menjadi satu pengambilalihan, pengambilalihan yang disembunyikan.”