Banjir: Pembinaan jambatan Bailey akan disegerakan

103

Pembinaan jambatan Bailey bagi menghubungkan laluan yang terputus akibat bencana tanah runtuh di seluruh negara akan disegerakan, lapor akhbar Sinar Harian.

Ia termasuklah laluan terputus di Kilometer 35 Jalan Gua Musang – Jeli berhampiran Kampung Jerek, Gua Musang yang menghubungkan lebih 3,000 penduduk melibatkan lapan buah kampung akibat mendapan tanah dan tanah runtuh pada Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kor Jurutera DiRaja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terlibat bagi membina jambatan itu.
 
“Dalam tempoh 48 jam kita akan terus atur gerakan aset itu ke kawasan yang terjejas. Ini pernah saya lakukan apabila hubungan di antara Segamat dan Rompin terputus, jambatan bailey itu dibina dalam tempoh 72 jam.
“Kita mempunyai simulasi sebelum ini untuk pembinaannya dengan kerjasama Kor Jurutera ATM dan juga oleh pihak JKR setakat ini. Maklumat yang saya dapati kira-kira tujuh lokasi yang dikenal pasti dan Insya-ALLAH aset untuk jambatan Bailey itu mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Penutup Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak Daerah Bagan Datuk di Dewan Armada Politeknik Bagan Datuk di sini pada Ahad.



Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ahmad Zahid berkata, pembinaan jambatan tersebut amat penting untuk dilaksanakan segera bagi memudahkan urusan penduduk selain menghantar bantuan atau proses menyelamat mangsa bencana.

Menurutnya, bagi pembinaan jambatan kekal untuk menggantikan jambatan Bailey itu, NADMA sudah menyediakan peruntukan bagi tujuan tersebut.

Jelasnya, NADMA bersama-sama JKR dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk membina semula jambatan-jambatan itu terutama jambatan kampung di kawasan jalan perhubungan desa.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here