Dua dekad penantian, Greece akhirnya lancar laluan Metro Thessaloniki

13

Pihak berkuasa Greece melancarkan laluan pertama kereta api Metro Thessaloniki pada Sabtu, sebuah projek bernilai AS$3 bilion yang mengambil masa 38 tahun untuk disiapkan, menurut saluran televisyen awam ERT3 seperti dilaporkan oleh Sputnik/Ria Novosti.

Majlis itu dihadiri oleh Presiden Katerina Sakellaropoulou, Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis, serta anggota kerajaan dan ahli politik lain.

Laluan yang baru dirasmikan itu adalah sepanjang 9.6 kilometer (km) dan mempunyai 13 stesen.



Perjalanan dari satu hujung ke hujung lain hanya mengambil masa 17 minit, dengan kereta api tiba setiap 3.5 minit, menurut laporan penyiar berkenaan.

Kereta api bawah tanah ini dijangka mengurangkan tekanan terhadap pengangkutan awam lain di bandar kedua terbesar di Greece dan dapat menampung kira-kira 250,000 penumpang setiap hari.

Kapasiti ini dijangka meningkat kepada 313,000 penumpang pada 2025 apabila tambahan trek sepanjang 4.8km dan lima lagi stesen dijadualkan beroperasi.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut beberapa kedai berhampiran stesen laluan bawah tanah itu terpaksa ditutup disebabkan peningkatan kadar sewa.

Cadangan untuk pembinaan sistem rel bawah tanah di Thessaloniki pertama kali dikemukakan pada 1918.

Pada 1976, projek Metro Thessaloniki dimasukkan buat kali pertama dalam belanjawan bandar, manakala percubaan pertama untuk membina laluan bawah tanah itu dimulakan pada 1986.

Projek ini sepatutnya siap pada 1995, tetapi terhenti akibat kekurangan dana.

Kerja pembinaan dimulakan semula pada 2006 dengan sasaran siap pada 2012, namun tertangguh kerana pelbagai faktor.

Antaranya termasuk krisis ekonomi pada 2010-an, kemuflisan dua syarikat pembinaan, pandemik COVID-19, dan perubahan berterusan terhadap projek susulan penggalian arkeologi yang meluas di tapak pembinaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here