Enggan bayar petrol RM65, pemandu Vios larikan diri dengan nozel sekali

88

Seorang lelaki yang enggan membayar wang isian minyak petrol berjumlah 500 baht (RM65) memecut laju keretanya tanpa mencabut nozel tangki terlebih dahulu, lapor laman berita Thaiger.

Kejadian berlaku di sebuah stesen minyak di Jalan Hathairat, Bangkok pada Isnin lalu.

Berdasarkan sebuah video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, sebuah kereta Toyota sedan berwarna hitam dipandu di tengah jalan dengan keadaan nozel minyak masih berada pada tangki sisi.





Seorang pekerja stesen minyak dikenali sebagai Jannarong berkata, suspek mahu mengisi minyak dengan isian berharga 500 baht serta menyerahkan sekeping kad keahlian.

Jannarong kemudian memasukkan butiran untuk isian minyak pada kereta suspek lalu dia berjalan ke tempat juruwang bagi meleretkan kad keahlian tersebut.

Dia kemudian mendengar bunyi bising sebelum melihat suspek memecut laju keretanya dengan keadaan nozel masih berada pada tangki sisi kereta.

Minyak petrol melimpah keluar dari pam di stesen minyak, menyebabkan Jannarong melaporkan perkara itu kepada pengurusnya.

Hasil pemeriksaan polis akhirnya berjaya mengesan suspek yang dikenal pasti sebagai Phuetmongkon, 47. 

Dia kemudian ditahan dan didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, kebanyakannya melibatkan kesalahan berkaitan dadah.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here