Padah langgar lari, Mercedes GLE450 dipandu terbakar

295

Tindakan seorang pemandu kereta melanggar lari selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di KM8, Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) semalam, membawa padah apabila kenderaannya terbakar tidak lama kemudian.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.35 tengah hari itu, pemandu Mercedes GLE450 AMG dilaporkan sebelum itu telah melanggar penunggang motosikal jenis Honda Vario 160 yang sedang bergerak lurus di lorong kiri, berhampiran Plaza Tol Chan Sow Lin.





Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pemandu berusia 34 tahun itu bagaimanapun tidak berhentiĀ selepas perlanggaran dan meninggalkan penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah.

“Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal tercampak ke jalan raya serta mengalami kecederaan serius di kepala, muka dan perut.

“Pemandu kereta itu bagalmanapun, terus memandu ke aran Wangsa Maju, namun tindakannya membawa padah apabila kenderaannya terbakar di KM18 lebuhraya sama, berhampiran Plaza Tol Wangsa Maju,” katanya.

Tambah beliau, kereta itu terbakar di bahagian bonet depan sebelum terhenti sepenuhnya di lokasi kejadian.

“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan namun telah ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan permohonan reman terhadapnya telah dibuat,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan bertanggungjawab jika terlibat dalam kemalangan.

“Orang ramai diingatkan supaya membuat laporan polis dengan segera seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 52(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Insiden kebakaran tersebut turut disahkan oleh Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur yang menerima panggilan kecemasan pada jam 1.38 tengah hari.

“Kebakaran memusnahkan bahagian enjin kereta itu sepenuhnya, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” menurut kenyataan itu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here