Liberty Walk sangat terkenal sebagai sebuah syarikat penala automotif yang mempunyai kepakaran dalam menghasilkan kit badan lebar untuk memberikan rupa paras supercar yang lebih agresif.
Bukan sekadar supercar moden seperti Lamborghini Aventador, Liberty Walk turut menyentuh beberapa kereta ikonik klasik seperti Lamborghini Countach, Ferrari F40 dan kei car Autozam AZ-1.
Bagi mereka yang tidak mempunyai dana yang mencukupi, anda boleh mendapatkan satu produk yang dihasilkannya iaitu sebuah papan kekunci.
Ya, keyboard yang anda dan penulis gunakan untuk menaip artikel ini.
Papan kekunci kompak mekanikal ini dihasilkan menerusi kerjasama dengan Original Konbini. Ia dibina daripada dua blok aluminium dan dikuasakan oleh wayar USB-C.
Bahagian luaran papan kekunci ini dikemaskan dengan warna putih. Beberapa kekunci mempunyai elemen yang diinspirasikan daripada F40 Liberty Walk dan bendera Jepun.
Setiap pembelian papan kekunci ini akan disertakan dengan alas pelapik meja. Ia boleh digunakan untuk menghasilkan diorama kawasan meletak kereta yang popular di Jepun.
Hanya 500 unit sahaja papan kekunci ini akan dihasilkan, namun sayang sekali tiada sebarang harga diumumkan.