8 perbandingan utama Proton X50 dengan Honda HR-V

19528

Anda pasti telah banyak mendengar mengenai Proton X50, iaitu SUV segmen-B Proton yang lebih kecil dari X70. Ia akan turut dipasang secara tempatan (CKD) dan bersaing dengan model-model seperti Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Toyota CH-R. Kali ini Motoqar akan senaraikan perbandingan ketara antara Proton X50 vs Honda HR-V.

Tidak seperti ura-ura yang mengatakan bahawa X50 itu akan dilancarkan tahun ini, ia sebenarnya hanya akan dilancarkan tahun depan. Untuk tahun ini, Proton bakal memperkenalkan X70 versi CKD terlebih dahulu.



Walaubagaimanapun, syarikat itu telahpun mendaftar tanda dagang untuk nama X50 beberapa bulan lepas.

Tular beberapa hari lepas tentang gambaran Proton X50 yang dibandingkan dengan pesaing popular Honda HR-V. Berikut adalah 8 perbezaan utama kedua-dua SUV hangat ini:

1. Dimensi

Perbandingan dimensi Proton X50 vs Honda HR-V
Perbandingan dimensi Proton X50 vs Honda HR-V

Imej itu mencatatkan bacaaan 4,330mm x 1,800mm x 1,609mm untuk X50 dan 4,334mm x 1,772mm x 1,605mm untuk HR-V. Ini bermakna HR-V lebih panjang sedikit tetapi X50 lebih lebar dan tinggi.

HR-V juga mempunyai jarak roda (wheelbase) lebih panjang iaitu 2,610mm berbanding X50 pada 2,600mm.

 

Berat bersih untuk X50 dan HR-V pula masing-masing adalah 1,340kg dan 1,270kg. HR-V juga mempunyai kapasiti kargo sebanyak 437 liter, perbezaan agak ketara dengan X50 dengan 330 liter.

2. Enjin

Dari segi mekanikal, X50 dikatakan akan dipacu oleh enjin 1.5-liter turbo 3-silinder dengan teknologi suntikan terus bahan api. Namun bilangan injap sebanyak 16 pada imej ini kami rasakan satu kesilapan, mungkin ia sepatutnya 15.

Enjin 1.5 ini cukup berkuasa dengan 177hp dan 250Nm tork.

Honda HR-V pula dijana oleh enjin sedia ada 1.8-liter SOHC i-VTEC 4-silinder dan 16 injap. Enjin naturally-aspirated ini mampu menghasilkan 142hp dan 172Nm tork.

3. Transmisi

Berbanding Honda HR-V yang mendapat transmisi CVT Earth Dreams, Proton X50 pula bakal mendapat transmisi lebih canggih dan cekap iaitu automatik dwi-klac 7-kelajuan.

4. Prestasi

Pecutan 0 ke 100 km/h untuk Honda HR-V ialah 8.6 saat. Namun, walaupun X50 lebih berat, transmisi dwi-klac itu membantunya dengan 7.9 saat sahaja untuk pecutan sama.

5. Kemasan kabin

Walaupun belum ada spesifikasi rasmi, imej di sini menunjukkan bahawa HR-V datang dengan kemasan serba hitam untuk kabinnya manakala X50 didatangkan dengan kemasan dwi-tona.

Apa pendapat anda mengenai kemasan kabin kedua-dua SUV? Mana lebih menarik?

6. Suspensi

Kedua-dua SUV dilengkapi dengan suspensi jenis topang MacPherson di depan dan torsion beam di belakang. Honda HR-V mempunyai rasa pengendalian yang agak baik. Namun sekiranya Proton X50 menerima sentuhan Proton Ride & Handling seperti X70 CKD, pasti lebih menarik.

7. Rim dan tayar

Perbandingan rim dan tayar Proton X50 vs Honda HR-V

Menurut sumber ini, X50 akan mempunyai pilihan rim 17-inci dengan tayar 215/60 dan rim 18-inci dengan pilihan tayar 215/55. Untuk Honda HR-V pula, satu pilihan sahaja iaitu rim 17-inci dengan tayar 215/55.

8. Harga

Perbandingan harga Proton X50 dengan Honda HR-V

Untuk faktor yang menjadi persoalan dan penentu banyak pihak iaitu harga, berbanding HR-V yang ditawarkan pada RM108k hingga RM120k, Proton X50 dijangkakan akan dijual pada RM75k hingga RM95k sahaja.

Jika benar ramalan harga Proton X50 ini, ia pasti memberikan lebih alasan untuk pembeli melihat dan mempertimbangkan jenama nasional ini untuk SUV segmen-B.

Kami juga berharap X50 akan menerima banyak sentuhan dan penglibatan Proton untuk menjadikan model ini lebih unik dari model asal Geely Binyue SX11.

Dah baca perbezaan kedua-dua kereta ini? Mana satu jadi pilihan anda?

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here