Enjin M139 Mercedes 2.0-liter 4-silinder paling berkuasa di dunia telah didedahkan oleh Mercedes-AMG, dan akan disumbat ke dalam rangkaian model 45 mereka.
Dalam versi S iaitu yang paling berkuasa, enjin 2.0-liter ini akan menghasilkan 415hp dan bakal menggantikan enjin-enjin yang memacu A 45, CLA 45 dan GLA 45 sebelum ini.
Satu-satunya komponen yang diambil dari enjin sebelum ini hanyalah beberapa nut dan bolt. Versi standard mampu menghasilkan 382hp dan 480Nm tork manakala versi S berupaya menghasilkan 415hp dan 500Nm tork.
Karakter enjin berbeza untuk Mercedes-AMG A 45 2019
Enjin M139 Mercedes 2.0-liter M133 sebelum ini ditala untuk memberikan lengkuk tork seperti diesel yang meningkat mendadak dan kemudian rata di keseluruhan baki rev. Enjin M139 baharu ini akan memberikan gaya penyampaian kuasa berbeza dan lebih sporti.
Matlamatnya adalah untuk memberikan karakter pecutan seperti enjin naturally-aspirated (NA) yang rev tinggi. Enjin baharu ini akan menjana tork puncak di 5,200 rpm, dan mula mendaki pada 3,000 rpm.
Pembakaran pada 160 bar juga seperti diesel, dan blok silinder lebih ringan dan teguh diberikan untuk menampung kuasa serta tekanan ini.
Suhu dan haba enjin akan dikawal dengan lebih cekap. Ini adalah sumbangan dari injap ekzos lebih besar, jaket air yang direka semula, penyejukan minyak, air dan udara untuk turbo serta paip cecair penyejuk berasingan dialirkan untuk kepala dan blok silinder.
Kesemua ini akan dibantu oleh pam air yang dikawal secara elektrik. Bahagian atas enjin juga akan mendapat Camtronic iaitu kawalan injap kemasukan dan ekzos boleh-laras. Pelarasannya akan memberikan profail berbeza untuk penjimatan bahan api serta meningkatkan respons pedal minyak.
Bilah turbin dalam turbo dipasang dengan bearing bergeseran rendah, dan wastegate elektrik diberikan untuk mengurangkan kehilangan boost apabila perubahan tekanan diperlukan.
Turbonya kini terletak di antara enjin dan bahagian depan, dan kepala silinder dipusing 180-darjah. Lokasi baharu ini memerlukan penyejukan lebih, dan sebahagiannya diberikan oleh penutup enjin yang dibentuk untuk mengalirkan udara di atasnya.
AMG berkata pembinaan enjin baharu ini masih mengaplikasikan konsep “satu orang, satu enjin” yang telah lama diamalkan. Namun beberapa teknik dan cara diubah untuk menjimatkan masa dan menambahbaik ergonomik pekerja.