Mercedes-Benz Malaysia turut mempersembahkan EQC 400 4MATIC, kenderaan elektrik sepenuhnya pertama syarikat itu.
Pengenalan EQC dibuat serentak dengan pelancaran sedan mewah S 560 e dan memperkukuhkan jenama EQ sebagai mobiliti masa depan oleh Mercedes.
EQC 400 4MATIC dipacu oleh sistem Electric Drive Mercedes berkapasiti 80 kWh dengan DYNAMIC SELECT. Ini memberikannya output 408hp dan 760Nm tork.
Pecutan 0 ke 100km/j boleh dibuat dalam 5.1 saat sahaja dan kelajuan maksima adalah 180km/j. Mercedes EQC mempunyai jarak pemanduan kira-kira 450km untuk satu caj penuh.
Untuk mengecaj baterinya, ia memerlukan 11 jam jika dicaj dari pengecaj domestik di rumah. Namun jika dicaj dari DC Fast Charger, kapasiti bateri 10 peratus hingga 80 peratus dapat dicapai dalam 40 minit sahaja.
EQC dilengkapi lampu depan MULTIBEAM LED dengan Adaptive Highbeam, rim AERO 19-inci dan bumbung suria gelungsur.
Bahagian dalam mendapat Electric Art Interior yang terdiri dari kemasan kayu brown-open pore ash, roda stereng dengan balutan kulit Nappa. Selain itu, EQC dilengkapi tempat duduk dengan pemanas, lampu suasana dan pendingin hawa THERMOTRONIC.
Sebagai sebuah kenderaan EV canggih, sistem multimedia disokong oleh unit MBUX dengan Head-up Display, sistem audio Burmester, Touchpad, Apple CarPlay dan Android Auto.
Ciri keselamatan pula merangkumi pakej Driving Assistant, DISTRONIC, PARKTRONIC, Steering Assist, dan sistem PRE-SAFE.
Mercedes C 300 e PHEV
Turut dipertontonkan adalah varian PHEV (plug-in hybrid) untuk sedan C-Class, iaitu C 300 e. Model terbaharu dalam EQ Power hanyalah untuk tontonan teknologi dan tiada dalam perancangan untuk dijual kepada umum.
Ini kerana dengan struktur cukai dan harga yang belum pasti, C 300 e ini mungkin tidak mendapat harga yang kompetitif jika dijual sekarang.
Apa pun, ia tetap suatu peningkatan dari Mercedes C 350 e PHEV sebelumnya yang dipasang di kilang Mercedes di sini.
C 300 e dipacu oleh enjin 2.0-liter 4-silinder petrol dengan 211hp dan 350Nm. Enjin pembakaran dalaman ini dipadankan dengan motor elektrik yang berkuasa 320hp. Jumlah output sistem ini adalah pada 320hp dan 700Nm tork! Walaupun sangat berkuasa, ia membebaskan kurang dari 45g karbon dioksida.
Dengan transmisi automatik 9-kelajuan 9G-TRONIC, Mercedes C 300 e mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 5.4 saat sahaja, hingga kelajuan maksima 250km/j.
Mercedes C 300 e ini menggunakan bateri Li-NMC (lithium-nickel-manganese-cobalt) baharu yang berkapasiti 13.5 kWh.